Pelakon, Nadzmi Adhwa memohon kepada orang ramai agar tidak menyebarkan sebarang gambar atau maklumat yang boleh mencetuskan fitnah mengenai isterinya, Ardell Aryana.
Menerusi satu hantaran di platform Threads, Nadzmi merayu kepada orang ramai untuk memberi ruang dan masa buat isterinya untuk sembuh selain mendoakan kesejahteraannya.
“Minta masa dan doa sahaja ya untuk isteri saya dan kesayangan korang semua. Tolonglah jangan keluarkan gambar yang bukan-bukan. Boleh tak kita tunggu je Ardell balik? Please ya korang,” tulisnya.
Nadzmi turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang tidak putus mendoakan serta mengambil berat tentang keadaan isterinya.
Advertisement
“Korang sangat baik mendoakan dan ambil berat. Terima kasih untuk itu. Minta masa tau,” tambahnya.
Sebelum ini, Nadzmi memaklumkan bahawa isterinya mengalami kecederaan pada tisu bahu akibat kekasaran dilakukan oleh tentera Israel ketika dalam tahanan.
Peguam Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA), Fahmi Abd Moin, mengesahkan bahawa Ardell serta seorang lagi aktivis, Haikal Abdullah, telah menjadi mangsa kekejaman tentera Zionis.
Jelas Fahmi, Ardell ditumbuk di bahagian muka dan rambutnya turut ditarik, manakala PU Rahmat pula dilaporkan dipaksa membuka baju dengan tujuan untuk dimalukan.
Terdahulu, Ardell bersama 22 sukarelawan Malaysia dilaporkan selamat tiba di Istanbul, Turkiye sekitar jam 9 malam waktu Malaysia, selepas dibebaskan daripada tahanan Angkatan Tentera Israel (IDF) ketika menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza.