Sekilas
- Ariel Fesol menegaskan hubungannya dengan Erysha Emyra hanyalah sebagai kawan walaupun mereka rapat selepas bergandingan dalam drama Satu Dua...Dia?
- Ariel mengakui spekulasi hubungan istimewa antara mereka adalah perkara biasa dalam industri hiburan apabila pelakon digandingkan bersama.
- Erysha Emyra juga menganggap gosip tersebut normal kerana keserasian mereka di layar sering mencetuskan spekulasi dalam kalangan peminat.
Penyanyi, Ariel Fesol tidak menafikan mempunyai hubungan rapat dengan pelakon Erysha Emyra selepas bergandingan dalam drama Satu Dua...Dia baru-baru ini.
Bagaimanapun, jelas Ariel hubungannya bersama Erysha hanyalah sekadar kawan sahaja.
“Sebenarnya spekulasi ini mula menjadi bualan ramai sejak saya digandingkan dengan Erysha dalam sebuah drama. Bagi saya, saya berkawan dengan semua orang.
“Memang tidak dinafikan kami agak rapat, tetapi itu kerana dia adalah heroin saya dalam drama tersebut. Jadi, keserasian itu memang perlu ada. Kami hanya berkawan, tiada sebarang hubungan istimewa yang perlu saya ceritakan buat masa ini. Fokus utama saya sekarang adalah kepada kerjaya serta tanggungjawab saya bersama Alpha,”katanya kepada Gempak.
Mengulas mengenai peminat yang gemar ‘menyatukan’ mereka sebagai pasangan, Ariel yang juga ahli kumpulan Alpha berkata perkara itu adalah sesuatu yang normal dalam industri hiburan.
Menurutnya, kebanyakan pelakon yang digandingkan bersama pasti akan menerima reaksi sedemikian daripada peminat.
“Bagi saya, itu perkara biasa. Mana-mana pelakon yang digandingkan bersama pasti akan ada peminat yang ‘shipping’ mereka.
“Kalau perkara itu membuatkan mereka gembira, saya juga tumpang gembira. Namun, hakikatnya kami tetap berkawan seperti biasa,” ujarnya.
Terdahulu, pelakon Erysha Emyra menganggap gosip yang mengaitkannya dengan anggota kumpulan Alpha, Ariel Fesol, sebagai perkara biasa dalam dunia hiburan, terutama apabila mereka berdua pernah bergandingan dalam satu drama yang sama.
Menurut Erysha, situasi seperti itu sering berlaku apabila pelakon dilihat serasi di layar, sekaligus mencetuskan spekulasi dalam kalangan peminat.
Nama Erysha dan Ariel Fesol mula menjadi perhatian peminat apabila mereka dilihat semakin rapat sejak bekerjasama dalam drama Satu, Dua...Dia?
Beberapa perkongsian di media sosial yang memaparkan kemesraan mereka turut mencetuskan spekulasi dalam kalangan peminat yang menganggap hubungan tersebut mungkin lebih daripada sekadar rakan kerja.