Sekilas
- Rentak Budaya 2026 akan berlangsung selama tiga hari dari 30 Oktober hingga 1 November di River of Life dan Padang Merbok, Kuala Lumpur, menawarkan pelbagai aktiviti seni, hiburan, dan budaya.
- Pengunjung boleh menikmati persembahan muzik oleh artis popular seperti Ella dan Amy Search, serta persembahan tradisional seperti Dikir Barat, Silat, dan Tarian Joget.
- Di River of Life, terdapat bengkel seni kreatif, demonstrasi budaya, dan persembahan buskers yang membolehkan pengunjung berinteraksi lebih dekat dengan penggiat seni tempatan.
Masih mencari aktiviti menarik untuk mengisi hujung minggu bersama keluarga atau rakan-rakan?
Apa kata luangkan masa menikmati persembahan muzik, mencuba seni tradisional dan meneroka keunikan budaya Malaysia menerusi Rentak Budaya 2026 yang bakal berlangsung selama tiga hari bermula 30 Oktober hingga 1 November ini.
Menariknya, acara yang diadakan di dua lokasi sekitar ibu kota iaitu River of Life dan Padang Merbok, Kuala Lumpur itu bakal menghimpunkan pelbagai aktiviti seni, hiburan, warisan dan kraf dalam suasana santai.
Buat peminat muzik, pentas utama di Padang Merbok bakal dimeriahkan dengan persembahan barisan penyanyi popular tanah air termasuk Ella, Amy Search, Kaka Azraff, Haziq Rosebi dan Rosma Sidik.
Persembahan yang dijadualkan bermula pukul 8 malam itu turut menampilkan Issey & Friends menerusi persembahan Dikir Barat.
Tidak ketinggalan, pengunjung berpeluang menyaksikan persembahan tradisional seperti Gendang Rebana, Silat, Tarian Joget, Zapin Berkopak dan Gendang 24.

Pada sebelah siang pula, kawasan Padang Merbok akan dimeriahkan dengan Hari Permainan Malaysia 2026 serta pelbagai gerai makanan dan minuman.
Sementara itu, bagi mereka yang gemar mencuba aktiviti kreatif, River of Life menawarkan pengalaman budaya yang lebih dekat dan interaktif.
Antara aktiviti yang boleh diterokai termasuk bengkel membuat tanjak, bengkel batik, kaligrafi dan seni khat, selain demonstrasi pemakaian busana Malaysia serta tarian zapin.
Pengunjung juga boleh menikmati persembahan buskers, sketsa dan sesi Sembang Seni yang melibatkan penggiat seni tempatan.
Antara nama yang bakal memeriahkan River of Life ialah Ann Abdullah, Kumpulan Teater Hidayah, Kyoji Sky, Siddiq Band, Mie Raja Lawak dan Pak Chu Raja Lawak.
Aktiviti di River of Life akan berlangsung dari pukul 10 pagi hingga 10 malam sepanjang tiga hari penganjuran.
Menurut Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Zed Zaidi, Rentak Budaya diwujudkan bagi mendekatkan masyarakat dengan seni dan budaya tempatan melalui pendekatan yang lebih santai.
“Rentak Budaya bukan sekadar pentas persembahan artis. Kita mahu masyarakat datang bersama keluarga, melihat, mencuba dan merasai sendiri kepelbagaian seni serta budaya yang kita miliki.
“Di River of Life, pengunjung boleh berinteraksi secara lebih dekat dengan penggiat seni, manakala di Padang Merbok kita tampilkan persembahan berskala lebih besar yang menggabungkan artis popular dengan seni kebudayaan.
“Kita mahu Rentak Budaya menjadi ruang pertemuan antara seni tradisi dengan generasi hari ini. Seni dan budaya perlu terus diraikan, diberi ruang dan diperkenalkan dengan pendekatan yang segar supaya ia kekal dekat di hati masyarakat,” katanya.
Rentak Budaya 2026 dijadualkan berlangsung dari 30 Oktober hingga 1 November di River of Life dan Padang Merbok, Kuala Lumpur.
Jadi, buat mereka yang mahu menikmati kelainan pada hujung minggu, acara ini boleh dimasukkan dalam senarai aktiviti bersama keluarga dan rakan-rakan.