Sekilas
- Pelakon Nam Ron berasa terharu apabila lakonannya dalam filem TERBANG mendapat pujian daripada seorang penonton yang menghargai bakatnya.
- Nam Ron menjelaskan pujian itu menjadi motivasi untuknya terus memperbaiki mutu lakonan dan bukan untuk berbangga diri.
- Filem TERBANG yang mengisahkan perjalanan legenda rali Malaysia, Karamjit Singh, sudah mula ditayangkan di pawagam seluruh negara sejak 17 September lalu.
Pelakon, Nam Ron menyatakan rasa terharu apabila lakonannya mendapat pengiktirafan daripada individu yang menghargai hasil kerjanya.
Menerusi perkongsian di platform Threads, Nam Ron mengatakan dia benar-benar menghargai kata-kata individu itu mengenai bakat lakonannya.
Kata Nam Ron, pujian itu cukup bermakna buat dirinya memandangkan dia lebih kerap menerima kritikan berbanding penghargaan sepanjang bergelar anak seni.
“Saya minta maaf. Saya kena share benda ni. Akhirnya ada juga orang nampak bakat lakonan saya. Jarang jarang orang puji selalunya kena keji je,” tulisnya.
Dalam pada itu, Nam Ron menegaskan pujian yang diterima bukan bertujuan untuk membangga diri atau merasakan dirinya lebih hebat daripada orang lain, sebaliknya menjadi satu bentuk motivasi untuk terus memperbaiki mutu lakonannya.
“Ada masa saya perlukan ini. Bukan untuk menyombong atau merasa hebat tapi sebagai motibasi untuk buat lebih baik dan rasa kerja keras dihargai.
“Cukuplah walau seorang saja yang nampak bakat saya. Mudah mudahan di masa depan lebih ramai yang nampak bakat saya yang seciput ini,” coretnya.

Dalam hantaran yang sama juga, Nam Ron turut menzahirkan penghargaan kepada pemilik akaun @melatishafika kerana sudi melihat dan menghargai bakat lakonannya.
“Terima kasih Akak @melatishafika walau di mana akak berada,” tulisnya.
Terdahulu, seorang individu memuji watak Rahim yang dibawakan Nam Ron dalam filem terbaharu lakonnanya iaitu TERBANG.
Kata wanita itu lagi, Nam Ron berjaya membawakan watak tersebut dengan baik sehingga penonton sendiri merasai tanggungjawab yang dibawa oleh karakter tersebut.
Selain Nam Ron, TERBANG yang diinspirasikan daripada perjalanan legenda rali negara, Karamjit Singh turut dibintangi Irfan Zaini, Zizan Razak, Jack Tan, Shweta Sekhon dan Diana Danielle.
TERBANG arahan Chiu Keng Guan membawa kisah inspirasi perjalanan pasukan rali Malaysia yang diketuai Karamjit dalam membuktikan kemampuan anak tempatan di pentas dunia.
TERBANG sudah mula ditayangkan di pawagam seluruh negara sejak 17 September lalu.