Sekilas
- Nam Ron tegaskan bayaran tinggi untuk pelakon harus selari dengan pengalaman dan pencapaian dalam industri, bukan sekadar tuntutan tanpa bukti kukuh.
- Beliau menegaskan perbezaan antara lakonan di televisyen dan filem, di mana filem memerlukan bayaran tiket dan penonton lebih berhati-hati memilih untuk menonton.
- Nam Ron juga menasihatkan pelakon baru supaya menerima bayaran yang dipersetujui tanpa mengeluh atau mengutuk pihak produksi selepas itu.
Pelakon Nam Ron tampil mengulas lagi perkongsiannya mengenai seorang pelakon yang didakwa meminta bayaran RM100,000 meskipun baru sekitar empat tahun berkecimpung dalam bidang lakonan.
Menurut Nam Ron, dia tidak mempertikaikan kewujudan pelakon tempatan yang mampu menerima bayaran tinggi, namun kadar tersebut sewajarnya seiring dengan pengalaman dan pencapaian seseorang dalam industri.
“Bukan bermaksud dekat Malaysia tiada pelakon yang dapat harga itu. Ada, tetapi pelakon itu harus membuktikan dahulu seperti filem lakonannya memang ‘box office’ seperti Zizan Razak.
“Kalau Zizan, tidak mustahil orang bayar dia dengan harga RM30,000 atau RM40,000 kerana dia sudah membuktikan, sama seperti Shaheizy Sam.
“Tapi untuk pengalaman yang baru empat tahun berlakon drama, saya rasa belum membuktikan apa-apa untuk ‘demand’ RM100,000,” katanya.
Nam Ron berkata, dia sebenarnya mengalu-alukan sekiranya industri mampu menawarkan bayaran tinggi kepada pelakon, namun seseorang artis juga perlu memberikan ruang untuk rundingan dengan pihak produksi.
“Saya tiada isu dengan perkara ini. Bagi saya bagus kalau industri menerima harga sedemikian tetapi perlu seiring dengan pencapaiannya.
“Kadang-kadang pelakon baharu tidak faham. Kalau beri harga, memang nak harga itu. Sebenarnya perlu sediakan julat harga supaya ada ruang untuk berunding,” ujarnya.
Dalam masa sama, Nam Ron mengingatkan pencapaian dalam drama televisyen tidak semestinya boleh dijadikan ukuran mutlak untuk meletakkan kadar bayaran sama apabila beralih ke layar perak.
“Berlakon di televisyen tidak sama dengan berlakon dalam filem. Di televisyen orang menonton secara percuma, mereka tidak perlu bayar.
“Filem lain, nak tengok kena bayar. Penonton akan berfikir banyak kali sebelum hendak menonton, lebih-lebih lagi harga tiket wayang pun tidak murah,” jelasnya.
Tambahnya, pelakon mempunyai hak untuk menolak tawaran sekiranya tidak berpuas hati dengan jumlah bayaran, namun tidak wajar menerima terlebih dahulu sebelum mengeluh atau memburukkan pihak produksi.
“Saya selalu nasihatkan pelakon baharu, kalau dah terima tawaran dengan bayaran rendah, jangan nak bising pula.
“Kalau sudah ambil bayaran itu, perlu terima dan jangan mengutuk di belakang, tak elok,” katanya.
Terdahulu, nama Nam Ron menjadi bualan selepas berkongsi mengenai seorang pelakon yang didakwa meminta bayaran sebanyak RM100,000 meskipun baru sekitar empat tahun dalam industri.
Pelakon berkenaan juga didakwa belum mempunyai pengalaman berlakon dalam filem.
Dalam perkambangan lain, Nam Ron bakal tampil dalam Terbang arahan Chin Keng Guan yang mengangkat kisah pelumba rali kebangsaan, Karamjit Singh.
Memegang watak sebagai jurulatih bernama Rahim, Terbang bakal mula ditayangkan pada 17 September depan di pawagam seluruh negara.
Terbang turut menampilkan Irfan Zaini, Jack Tan, Zizan Razak, Shweta Sekhon, Diana Danielle, Luqman Hafidz dan Qasrina Karim.