Sekilas
- Mawi menjelaskan dia tidak berkecil hati dengan komen netizen yang mempertikaikan kehadirannya dalam Konsert 3 Aura bersama Datuk Jamal Abdillah dan Ameng Spring.
- Menurut Mawi, konsert itu meraikan '3 Aura' berbeza setiap penyanyi, bukan sekadar menghimpunkan tiga legenda seperti yang disangka ramai.
- Pelantun Aduh Saleha itu sudah lali dengan komen negatif di media sosial selepas lebih 20 tahun dalam industri hiburan dan memilih untuk fokus pada perkara positif.
Penyanyi Mawi mengakui tidak pernah berkecil hati dengan komen segelintir netizen yang mempertikaikan namanya berada sebaris bersama Datuk Jamal Abdillah dan Ameng Spring dalam Konsert 3 Aura.
Menurut Mawi atau nama sebenarnya Asmawi Ani, 45, salah faham itu timbul kerana ramai yang gagal memahami tajuk sebenar konsert berkenaan.
“Tak (ambil hati) saya okey saja. Mungkin mereka tak faham tajuk dia. Tajuk dia penganjur, Datuk Razif letak ‘3 Aura’.
“Di situ adalah ‘aura’. Orang tengok ada Jamal Abdillah, lepas itu ada Ameng Spring, orang kata otai. Tiba-tiba ada Mawi.
“Mereka fikir, ‘Kenapa Mawi? Kenapa bukan penyanyi yang sezaman dengan mereka?’ Macam itulah pemikiran orang,” katanya ketika ditemui Gempak.
Tambah pelantun lagu Aduh Saleha itu, konsert tersebut bukan membawa konsep menghimpunkan tiga legenda, sebaliknya meraikan aura berbeza yang dimiliki setiap penyanyi.
“Tapi kalau tengok pada tajuk ‘3 Aura’, manusia ini ada aura yang berbeza-beza.
“Ada saya baca orang kata ‘Mawi bukan legenda’. Memang tajuk dia bukan ‘3 Legenda’ pun, ‘3 Aura’. Jadi kalau faham tajuk itu, fahamlah. Tajuk itu tetap tajuk,” ujarnya.
Mengulas mengenai komen negatif yang diterimanya dalam media sosial, Mawi berkata dia tidak terlalu memikirkan perkara tersebut kerana sudah lali sepanjang lebih dua dekad bergelar anak seni.
“Saya tak baca pun, cuma ada saja orang hantar kepada saya. Jadi saya terbaca jugalah.
“Itulah media sosial. Kalau dulu surat khabar, saya ini zaman surat khabar. Sekarang dah tak ada surat khabar.
“Dah 20 tahun saya lalui industri ini. Mana ada semua benda sempurna dalam dunia ini. Yang positif tetap positif, yang tak positif biarlah, jalan sajalah,” katanya.
Terdahulu, nama Mawi menjadi bualan segelintir netizen yang mempersoalkan pemilihannya untuk bergandingan bersama Datuk Jamal Abdillah dan Ameng Spring menerusi Konsert 3 Aura.

Konsert anjuran Menara Network itu bakal berlangsung di Unifi Arena, Bukit Jalil pada 12 Julai ini.