Penyanyi, Sufie Rashid tampil menjawab dakwaan seorang wanita yang mendakwa pernah menjadi travel nanny kepada anaknya ketika percutian ke luar negara baru-baru ini.
Menerusi hantaran di platform Threads, Sufie menegaskan kenyataan wanita itu tidak benar dan memberikan gambaran yang cukup jelas sehingga orang ramai dapat meneka dirinya serta isteri.
Menurut Sufie, walaupun wanita tersebut tidak menyebut nama namun butiran yang diberikan sudah mencukupi untuk mengaitkan mereka.
“Post saya bulan September lepas cuma general feedback, tanpa sebut nama atau apa-apa detail. Kalau dia tak puas hati, dia boleh je reach out masa tu.
“Tapi post dia baru-baru ni jelas sangat describe saya dan isteri sampai orang boleh teka. Even tanpa nama, bagi cukup klu sampai orang benci, itu tetap defamation,” katanya.
Dalam pada itu, Sufie juga akui mempunyai pengalaman buruk sebelum ini namun enggan berkongsi kerana tidak mahu memalukan sesiapa.
“Saya memang ada bad experience, tapi saya pilih untuk tidak share detail sebab tak nak disturb dia. Malangnya, post dia pula yang buat orang benci isteri saya tanpa sebab," ujarnya.
Sufie juga memaklumkan pihak peguamnya telah menghubungi wanita berkenaan untuk menyelesaikan isu ini.
"Peguam saya sudah menghubunginya dan dia sudah tahu. Saya harap dia dapat beri kerjasama dan selesaikan perkara ini dengan baik sebab dia tahu apa yang dia kongsi itu tidak benar," tambah Sufie.