Pelakon Dayang Areeda akhirnya bersuara selepas namanya dikaitkan oleh netizen sebagai selebriti yang didakwa melakukan aksi tidak senonoh ketika bergambar di sebuah photobooth pusat beli-belah terkenal di ibu kota, baru-baru ini.

Dayang atau nama sebenarnya Dayang Areeda Datu Abdul Razak berkata, dia tidak mahu memberikan sebarang komen panjang mengenai isu tersebut.
Advertisement
“Saya tiada komen tentang perkara itu,” katanya ringkas.
Bagaimanapun, pelakon drama Kekasih Paksa Rela itu tidak menafikan dirinya sedikit terganggu selepas namanya dikaitkan dengan kontroversi berkenaan.
“Emosi saya memang terganggu sebab benda tu. Sudah tentu saya rasa sedikit down sebab saya rasa benda-benda macam tu tak patut. Tapi benda dah berlaku, jadi biarlah,” katanya.
Selain itu, Dayang turut mengakui pada awalnya dia tidak tahu gambar tersebut dikaitkan dengannya sehinggalah menerima ‘tag’daripada pengguna media sosial.
“Tak tahu pun sebenarnya gambar tu pasal saya. Memang tak tahu langsung sampai ada orang tag. Saya rasa ternampak dekat TikTok. Mula-mula memang terkejut bila tengok,” ujarnya.
Bagaimanapun, pelakon itu menegaskan dia kini memilih untuk tidak terlalu memikirkan tentang isu tersebut dan mahu fokus kepada kehidupan serta kerjaya.
“Saya okey. Saya teruskan hidup. Sekarang saya sibuk dengan kerja, cuti dan juga uruskan kafe serta perniagaan,” jelasnya.
Terdahulu, tular di media sosial sekeping foto intim memaparkan pasangan selebriti berpelukan dan beraksi ‘comolot’ di photobooth Wangsa Walk Mall, Kuala Lumpur.
Foto berkenaan dikatakan ditemui secara tidak sengaja oleh orang awam apabila ia ditampal bersama gambar pelanggan lain di ruang pameran photobooth tersebut.
Susulan itu, nama Dayang Areeda antara yang disebut-sebut netizen sebagai individu dalam gambar berkenaan.