Pelakon, Afiq Hamidon meluahkan rasa syukur apabila kerjayanya dalam dunia lakonan semakin berkembang sepanjang tahun 2025.
Menurut Afiq, peluang membintangi drama arahan pengarah tersohor Datuk Yusry Abdul Halim dianggap sebagai salah satu pencapaian terbesar dalam perjalanan seninya.
“Rezeki ikut masing-masing, alhamdulillah tahun ini saya dapat main watak yang sedikit sebanyak menaikkan nama saya dan berlakon dibawah arahan Datuk Yusry bagi saya itu sangat besar, jadi saya bangga dengan diri saya sendiri.
“Dan bagi saya dengan peluang yang ada ini saya cuba untuk memperbaiki dan belajar sebaik mungkin dalam industri ini. Tapi macam saya katakan rezeki orang lain-lain, dulu masa mereka sekarang syukur masa saya dah tiba,” katanya kepada Gempak.
Berkongsi mengenai pencapaian rakan-rakan seperjuangannya dalam industri, Afiq menegaskan dia tidak pernah mempunyai sifat dengki atau tidak senang hati melihat orang lain berjaya.
“Saya tak pernah ada sifat dengki itu terhadap kawan-kawan saya jadi bila saya tahu kerjaya mereka berkembang dan lebih dikenali, apa yang boleh saya katakan adalah saya sangat bangga dengan mereka.
“Rasa mahu kerja bersama mereka itu sudah tentu ada namun untuk rasa cemburu atas kejayaan mereka itu tidak ada. Kerana kita tahu mereka juga bermulah dari bawah dan melihat kejayaan mereka kita pun rasa bangga,” tambahnya.
Sekadar info, Afiq pernah menyertai program Hero Remaja 2021 bersama Mierul Aiman, Aqil Taqee dan Fazziq Muqris.
Hiburan
Nama ‘Lambat Panas’ Berbanding Rakan Seangkatan, Afiq Hamidon Percaya Pada Rezeki