Sekilas
- Dato' Seri Siti Nurhaliza mengambil Odah dan Umai sebagai artis residen di bawah Siti Nurhaliza Legacy (SNL) untuk membimbing generasi muda dalam industri hiburan.
- Odah dan Umai dipilih kerana potensi besar mereka, dengan fokus utama bukan pada penjanaan kewangan tetapi pembangunan bakat dan persiapan kerjaya seni.
- Pengambilan ini juga bertujuan memastikan kualiti dan kestabilan karier mereka dalam jangka masa panjang, dengan sokongan penuh dari SNL dan pengurusan Siti.
Biduniata negara, Dato Seri Siti Nurhaliza mengakui potensi besar yang dilihat mampu dikembangkan pada masa mendatang menjadi pendorong buatnya mengambil Odah dan Umai sebagai artis residen di bawah payung Siti Nurhaliza Legacy (SNL).
Sebagai seorang pelaku seni yang sudah menghiburkan masyarakat selama 30 tahun, Siti juga menyifatkan pengambilan dua ‘pucuk hijau’ ini menjadi tanggungjawab SNL dalam usaha memberi bimbingan terbaik kepada generasi pelapis atau gen Z.
“Selepas Umairah, SNL kini mengambil Odah sebagai artis di bawah naungan SNL. Saya melihat baik Umai mahupun Odah mempunyai potensi yang besar dalam dunia hiburan.
“Jadi kami di SNL mahu memberi bimbingan kepada mereka agar karier yang baru bermula akan dibina dengan baik seterusnya mampu bertahan dalam industri,” kata Siti saat ditemui pada majlis ramah mesra bersama media dan sambutan ulang tahun ke-47nya baru-baru ini.
Sebelum ini Odah atau nama sebenarnya Auddra Zulkifli membuat penampilan khas sebagai penari Siti pada Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza di Stadium Bukit Jalil, 10 Januari lalu.
Di hadapan lebih 64,000 penonton, Siti mengumumkan Odah yang saat itu mengiringi tarian lagu Destinasi Cinta sebagai artis di bawah SNL.
Umai turut mendapat pujian selepas memukau peminat dengan gandingan mantap bersama Siti menerusi lagu Hati Kama pada konsert yang sama.
Sementara itu, pengurus Siti, Rozie juga menjelaskan pengambilan Odah dan Umai saat ini tidak mensasarkan penjanaan kewangan sebaliknya lebih kepada menggali potensi diri mereka sebagai persiapan kental menjadi pelaku seni pada waktu yang tepat kelak.
“Pengambilan Umai tidak punya orientasi kewangan buat masa ini kerana dia masih belajar dan perlu menduduki peperiksaan SPM tahun ini.
“Jadi ia lebih kepada persediaan bagaimana menjadi anak seni dan kami sasarkan ia dalam tempoh lima tahun mendatang, Umai dengan potensinya yang besar mampu menjadi penyanyi yang baik.
“Odah pula harus diakui memiliki personaliti dan ‘sesuatu’ yang menarik untuk potensinya terus dikembangkan dengan bimbingan yang betul. Jadi tugas SNL adalah memastikan kualiti mereka di depan kemudian diikuti dengan penjanaan ekonomi yang baik,” katanya.