Sekilas
- Nas-T dedahkan Keluang Man The Series akan tampil dengan jalan cerita lebih gelap, realistik dan penuh konflik emosi tanpa elemen komedi.
- Watak Borhan digarap dengan mendalam, terinspirasi daripada pengalaman sebenar individu yang menghadapi masalah kesihatan mental termasuk ahli keluarga Nas-T sendiri.
- Penggambaran siri ini mencabar terutama dengan sut tebal Keluang Man yang menyukarkan pernafasan, namun produksi menyediakan langkah keselamatan lengkap.
Pelakon Nas-T mendedahkan Keluang Man The Series yang diterajuinya bakal tampil dengan pendekatan yang jauh berbeza.
Menurut Nas-T atau nama sebenarnya, Nas Muammar Zar Nasruddin siri ini bakal mengetengahkan jalan cerita yang lebih gelap, realistik dan sarat dengan konflik emosi berbanding versi terdahulu.
“Borhan merasakan dirinya membawa sumpahan. Sesiapa yang dia sayang atau ambil berat akhirnya menemui ajal. Disebabkan itu, dia menyalahkan diri sendiri, mengasingkan diri daripada masyarakat dan menghukum dirinya. Dalam masa sama, dia perlu belajar mengatasi trauma itu sambil berdepan kuasa hitam yang mengancamnya.
“Untuk siri kali ini, kami tidak menampilkan elemen komedi. Nadanya lebih gelap dan berpijak di bumi nyata. Kami juga tidak merujuk kepada mana-mana karya lain kerana mahu menghasilkan sesuatu yang asli serta benar-benar bercirikan Malaysia.
“Dulu mungkin kita memasak mengikut selera penonton, tetapi kali ini kita menjadi cef. Kita masak dan penonton menikmati hasilnya. Saya percaya mereka akan lebih tertarik dengan versi yang lebih gelap ini,” katanya kepada Gempak.
Dalam pada itu, bagi menghidupkan watak Borhan, Nas-T mengakui melakukan pelbagai kajian termasuk menonton filem serta memerhati individu yang berdepan masalah kesihatan mental.
Malah, pengalaman melihat ahli keluarganya sendiri bergelut dengan kemurungan turut menjadi inspirasi dalam pembentukan karakter tersebut.
"Saya banyak membuat rujukan menerusi filem dan juga memerhati orang di sekeliling yang berdepan situasi seperti ini. Individu paling dekat ialah ahli keluarga saya sendiri yang mengalami kemurungan.
"Saya melihat bagaimana sepupu saya lebih gemar menyendiri, berasa paranoid dan merasakan dirinya tidak disayangi. Elemen-elemen itu saya terapkan dalam pembentukan watak Borhan.
"Watak Borhan kali ini mempunyai pelbagai lapisan emosi. Bukan sekadar berdepan gangguan bipolar, tetapi turut bergelut dengan keresahan dan kemurungan yang serius," ujarnya.
Nas-T turut berkongsi pengalaman mencabar ketika menyarung sut Keluang Man sepanjang penggambaran.
Menurutnya, sut berkenaan sangat tebal dan menyebabkan pernafasan menjadi sukar, terutama apabila dipadankan dengan topeng yang menutupi sebahagian besar wajah.
"Sut itu tebal dan padat. Sebaik sahaja dipakai, ia sudah mengganggu pernafasan saya, apatah lagi apabila memakai topeng yang menutup sebahagian besar kawasan pernafasan.
"Dalam keadaan itu, saya masih perlu memberi tumpuan kepada koreografi aksi dan 'blocking', selain memastikan pernafasan sentiasa terkawal.Kami menjalani penggambaran sekurang-kurangnya 12 jam sehari, malah ada kalanya mencecah 16 jam. Peluh memang menembusi bahagian luar sut.
"Bagaimanapun, pihak produksi menyediakan pelbagai langkah keselamatan termasuk kipas dan ruang khas untuk kami menyejukkan badan serta menjalani proses pemulihan selepas babak aksi," kongsinya.
Keluang Man The Series diterajui dua pengarah generasi baharu, Zahir Omar dan Syahmi Norsan serta dijadualkan menemui penonton pada tahun hadapan.