Sekilas
- Pelakon Datin Nelydia Senrose selamat melahirkan anak lelaki sulung pada 26 Julai 2026, seperti yang dikongsi suaminya, Datuk Mohd Hafez Halimi di Instagram.
- Hafez memuji ketabahan Nelydia sepanjang proses bersalin dan mengucapkan terima kasih atas pengorbanan serta kekuatan isterinya itu.
- Nelydia dan Hafez mendirikan rumah tangga pada 2019 dan mengumumkan kehamilan sulung mereka pada April lalu sempena ulang tahun perkahwinan mereka yang ketujuh.
Pelakon Datin Nelydia Senrose selamat melahirkan cahaya mata lelaki sulung pada Ahad.
Berita gembira itu dikongsikan sendiri suami kepada Nelydia iaitu Datuk Mohd Hafez Halimi Abdul Hamid menerusi satu perkongsian di Instagram.
Menerusi hantaran yang dibuat, Hafez memaklumkan bahawa melihat sendiri ketabahan isterinya sepanjan proses melahirkan.
"26 Julai 2026, saya menyaksikan wanita paling kuat dan paling luar biasa yang pernah saya kenal.
"Melihat awak berjuang menahan setiap kesakitan dan melalui setiap cabaran demi membawa anak lelaki kita lahir dengan selamat adalah satu momen yang akan saya simpan dalam hati sepanjang hidup," tulisnya.
Hafez dilihat turut memuat naik foto dirinya yang menemani Nelydia di bilik bersalin sambil mendukung anak sulung mereka itu.
Dalam masa yang sama, Hafez menzahirkan ucapan terima kasih kepada Nelydia atas pengorbanan isterinya itu sepanjang proses melahirkan.
"Melihat awak bergelar seorang ibu adalah perkara paling indah yang pernah saya saksikan.
"Terima kasih atas setiap pengorbanan yang sayang lakukan, setiap titisan air mata, setiap kekuatan yang awak kerahkan dan setiap degupan jantung yang membawa anak lelaki kita selamat ke dalam pelukan kita.
"Sayang bukan sahaja melahirkan seorang bayi lelaki yang sempurna, tetapi juga memberikan saya hadiah paling bermakna yang pernah saya terima. Hari ini, awak telah melengkapkan keluarga kecil kita," luahnya lagi.
Di akhir perkongsian, Hafez turut meluahkan rasa syukur kehadrat Ilahi kerana telah memudahkan segala urusan dan berjanji akan terus menyayangi serta melindungi Nelydia dan akan sentiasa berada di sisi dalam apa juga keadaan.
Untuk rekod, Nelydia atau nama penuhnya Nik Zaris Nelydia Nik Sen mendirikan rumah tangga dengan Mohd Hafez pada 6 April 2019.
Pelakon berusia 32 tahun itu kemudian mengumumkan kehamilan sulungnya pada April lalu bersempena sambutan ulang tahun perkahwinan mereka yang ketujuh.
Dalam perkongsian tersebut, Nelydia meluahkan rasa syukur atas rezeki yang dikurniakan selain menyifatkan kehadiran cahaya mata itu sebagai anugerah paling bermakna buat mereka sekeluarga.
Sumber: Instagram