Skip to main content

Fesyen

Neonate Dapat Pujian Stylist Korea Selatan, Karl Shafek Teruskan Kerjasama Dengan Alpha - "10 Tahun Lepas Saya Keluarkan Koleksi ..."

karl_alpha

Sekilas

  • Karl Shafek berbangga jenama pakaiannya, Neonate, mendapat pujian penata gaya di Korea Selatan selepas digayakan oleh kumpulan Alpha.
  • Kerjasama Neonate dengan Alpha bermula sejak program Big Stage dan dianggap sebagai cabaran kreatif yang menyeronokkan kerana setiap anggota mempunyai karakter unik.
  • Neonate merancang melancarkan koleksi pakaian dan cenderamata rasmi Alpha yang dijangka keluar tahun hadapan.

Pelakon dan usahawan Karl Shafek berbangga apabila jenama pakaiannya, Neonate, yang digayakan kumpulan Alpha semakin mendapat perhatian dan menerima pujian penata gaya di Korea Selatan.

Karl atau Khairul Shafek Ibrahim, 45, berkata pengiktirafan itu menjadi pembakar semangat untuk meneruskan kerjasama lebih besar bersama tujuh anggota Alpha pada masa akan datang.

“Beberapa anggota Alpha sudah memakai jenama kami sejak program Big Stage lagi. Identiti mereka sangat bertepatan dengan DNA Neonate.

“Ramai peminat berpendapat mereka kelihatan lebih matang, bergaya dan menonjol apabila mengenakan rekaan kami.

“Malah, ketika mereka terbang ke Korea Selatan baru-baru ini, penata gaya di sana turut memuji rekaan Neonate,” katanya ketika ditemui pada Pelancaran Koleksi Love Story Neonate di The Agam baru-baru ini.

Karl menjelaskan hubungan kerjasama ini menjadi lebih bermakna kerana dirinya pernah melancarkan koleksi bernama Alpha hampir sedekad lalu sebelum kewujudan kumpulan itu sendiri.

“Bagi saya, ini bukan kolaborasi biasa. Bayangkan, 10 tahun lalu saya keluarkan koleksi Alpha. Kemudian pada 2025, muncul pula Alpha dalam bentuk sebenar dan mereka memilih untuk memakai jenama saya.

“Ia benar-benar mengharukan. Saya anggap ia satu cabaran baharu yang menyeronokkan. Nama yang sama muncul semula dalam bentuk fizikal dan membuka peluang besar kepada Neonate,” tambahnya.

Katanya lagi, kerjasama dengan Alpha bermula sejak kumpulan berkenaan bertanding dalam Big Stage, dan keserasian mereka dengan jenama Neonate dapat dilihat dengan jelas.

“Identiti mereka cukup sejajar dengan Neonate. Setiap anggota Alpha mempunyai karakter tersendiri, dan itu menjadikan mereka sangat serasi dengan konsep kami,” ujarnya.

Walaupun mengakui bukan tugas mudah mencipta rekaan untuk tujuh individu dengan gaya berbeza, Karl menganggap cabaran itu sebagai satu peluang kreatif yang menarik untuk diteroka.

“Neonate memang gemar bekerja mengikut tema. Jadi apabila Alpha mempunyai tujuh karakter unik, kami jadikan kumpulan itu sendiri sebagai sebuah tema besar. Setakat ini, alhamdulillah semuanya berjalan lancar,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Neonate turut merancang untuk melancarkan koleksi pakaian dan cenderamata rasmi Alpha yang dijangka menemui peminat pada tahun hadapan.

Must-Watch Video

Advertisement