Sekilas
- Sissy ImanN menegaskan majlis perkahwinannya yang diadakan secara sederhana tidak patut dibandingkan dengan majlis Erra Fazira yang lebih gah.
- Dia berkongsi kehidupan selepas berkahwin berjalan lancar dan menggalakkan pasangan muda untuk segera mempercepatkan pernikahan.
- Sissy juga menyatakan jarak usia 11 tahun dengan suaminya, Dr. Zamir, bukan halangan kerana mereka berkongsi minat muzik dan keharmonian dalam rumah tangga.
Penyanyi, Sissy ImanN merasakan adalah tidak wajar jika majlis perkahwinannya dibandingkan dengan primadona filem Melayu alaf baru, Erra Fazira yang turut mengadakan majlis pernikahan yang sama dengan penyanyi itu pada 12 Disember lalu.
Menurut Sissy atau nama lengkapnya Sissy Imann Mohammad Kamil, jauh di sudut hatinya dan pasangan untuk membuat majlis yang menjadi perhatian ramai sebaliknya lebih mementingkan kelancaran serta keberkatan majlis.
“Kalau ada yang membandingkan majlis saya dengan Erra Fazira, bagi saya, janganlah bandingkan. Erra Fazira merupakan seorang primadona, jadi memang selayaknya dia mendapat perhatian.
“Tambahan pula, majlis saya simple saja. Majlis pernikahan di masjid dan resepsi saya pun hanya terhad untuk 250 orang. Memang perancangannya untuk diadakan secara kecil-kecilan.
“Jauh juga di sudut hati kami untuk menampilkan perkahwinan yang gempak asalkan semuanya berjalan dengan lancar. Tapi kami okay saja, tak terasa hati,” katanya kepada Gempak.
Sissy berkongsi perkara tersebut ketika hadir ke program MeleTOP bersama suami, Dr. Zamir Hilman Dr. Hamzah bertempat di Astro, Bukit Jalil pada Selasa.
Ketika ditanya mengenai kehidupan selepas berumah tangga, alumni program Big Stage ini meluahkan rasa syukur kerana semuanya dalam keadaan yang baik.
Malah, Sissy sangat menyarankan mereka yang mempunyai perancangan untuk mempercepatkan ikatan yang halal.
“Kehidupan selepas berumah tangga? Saya sangat sarankan untuk anda semua berkahwin. Kalau ada perancangan, percepatkanlah.
“Alhamdulillah, semuanya okay walaupun kami kenal tak lama pun sebelum buat keputusan untuk berkahwin.
“Kami juga bersyukur kerana Allah bantu permudahkan urusan sepanjang berkahwin,” ujarnya.
Bercakap pula mengenai perkahwinan mereka yang mempunyai jarak usia 11 tahun, Sissy berasakan perkara itu bukanlah satu isu dalam sesebuah perkahwinan.
“Jarak usia kami yang jauh tu pun tak ada apa sangat sebenarnya sebab Zamir berjiwa muda. Apa yang boleh dikatakan ialah, saya sangat senang bila bersama Zamir.
“Walaupun bekerja sebagai seorang doktor, Zamir juga ada minat mendalam dalam muzik sekaligus menjadikan ianya lebih dekat dengan saya,” katanya.
Pada 12 Disember lalu, Sissy dan Dr. Zamir sah bergelar suami isteri dalam satu majlis yang dihadiri saudara terdekat serta rakan rapat di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.