Pelakon, Riezman Khuzaimi mengambil pendirian untuk tidak ambil pusing selepas isterinya, Datuk Azie Sheikh Mohd,dikaitkan oleh netizen di TikTok sebagai pengusaha produk yang didakwa menghantar sihir kepada usahawan, Kak Ton.
Menurut Riezman, tuduhan yang dilemparkan itu tidak berasas dan hanya datang daripada komen liar netizen.
Advertisement
“Dakwaan itu tidak berasas sama sekali. Sebenarnya, saya tidak mahu melayan komen netizen itu kerana ia sudah banyak merosakkan minda rakyat Malaysia di mana mereka tidak tahu pun cerita sebenar tapi main tembak saja.
“Saya juga banyak belajar daripada isteri sebab dia terlalu positif dan tidak termakan dengan komen-komen negatif netizen,” katanya.
Tambah Riezman, dirinya kini lebih matang dan enggan ‘koyak’ dengan komen jahat warganet.
“Kalau dulu, saya mudah koyak tapi sekarang isteri sudah banyak mengajar saya jangan koyak. Malah, saya guna teknik psikologi berbalik atau reverse psychology dengan komen negatif netizen.
“Saya pun banyak mendidik pengikut di TikTok supaya tidak mudah koyak dengan komen negatif. Kalau ada ‘mulut puaka’ masuk ketika saya buat live, saya memang tak layan sebab kalau layan hanya tambah dosa saja,” jelasnya.
Terdahulu, usahawan terkenal Kak Ton atau nama sebenarnya Zaiton Hassan, 67, mendedahkan dalam podcast Sembang Seram mengenai pengalaman dirinya berdepan dengan sihir dan perkara mistik.
Kak Ton mendakwa seorang pengasas produk pernah menggunakan ilmu hitam untuk mengganggunya, namun tidak menamakan individu terbabit.
Susulan itu, muncul spekulasi dalam kalangan netizen di TikTok yang mengaitkan nama Datuk Azie dengan pendedahan usahawan berkenaan.