Sekilas
- Penyanyi dan pempengaruh Agy berkongsi perasaan selepas suaranya dipertikaikan netizen yang kata suaranya tak macam lelaki lain.
- Agy akui dia tak mampu ubah suara yang Allah beri dan minta maaf jika suara itu tak sempurna seperti yang diharapkan orang.
- Agy kini jadi perhatian selepas melancarkan lagu raya "Lala Raya" yang teaser muzik videonya juga dapat pelbagai reaksi.
Pempengaruh dan penyanyi, Agy tampil meluahkan isi hati selepas suaranya sekali lagi menjadi bahan pertikaian segelintir netizen.
Menerusi perkongsian di media sosial, pemilik nama sebenar Muhammad Affizy Mohd Khairy itu memuat naik satu hantaran sebagai respons terhadap komen sinis yang mempersoalkan suaranya yang dikatakan tidak seperti lelaki lain.
“Kadang saya pun tanya soalan sama dengan Allah," luahnya.

Sebagai manusia biasa, Agy mengakui dia juga pernah tertanya tanya mengapa dirinya dilahirkan dengan suara sebegitu namun, dia cuba untuk tidak terlalu memikirkan perkara tersebut.
“Bab suara ini saya tak mampu ubah apa pun orang cakap, suara saya dah Allah bagi bukan dibuat-buat. Maafkan saya sebab tak sempurna dan tak dapat nak penuhi kesempurnaan yang orang inginkan," tambahnya.
Luahan tersebut meraih pelbagai reaksi dalam kalangan pengikutnya. Ramai yang tampil memberi sokongan dan kata semangat agar dia terus yakin dengan diri sendiri serta bakat yang dimiliki.
Dalam perkembangan terbaharu, Agy kini menjadi perhatian apabila melancarkan lagu raya berjudul Lala Raya pada Jumaat.
Terdahulu, teaser muzik video yang dimuat naik turut mengundang pelbagai reaksi.