Sekilas
- Noh Salleh bercita-cita menjemput Datuk Seri Siti Nurhaliza sebagai penyanyi undangan dalam konsert Cadenza of the Soul bersama Aubrey Suwito Orchestra sebagai tanda penghormatan.
- Konsert ini menampilkan 21 lagu dengan susunan muzik baharu dan kolaborasi bersama Aina Abdul, menonjolkan sisi muzik Noh yang lebih besar dan berkelas.
- Konsert solo orkestra kedua Noh ini diharap menjadi acara tahunan dengan tiket boleh didapati melalui Ticket2U dan Fantopia.
Selain teruja dan sangat menghargai pelawaan komposer dan pengarah muzik tersohor negara, Aubrey Suwito lewat konsert Cadenza of the Soul: Noh Salleh with Aubrey Suwito Orchestra, Noh Salleh memiliki sebuah impian yang mahu direalisasikannya pada malam bersejarah tersebut.
Impian tersebut bukan dilakukan sebagai ‘jalan pintas’ meraih perhatian peminat sebaliknya sebagai sebuah penghormatan buat figura yang cukup disegani dan dikaguminya.
Ujar Noh, 41, dia mahu mengundang Datuk Seri Siti Nurhaliza sebagai salah seorang penyanyi undangan yang tentunya bakal meninggalkan impak tersendiri.
Dan jika Siti sudi menerima pelawaannya, Noh sendiri bersedia menyediakan ‘dulang lagu’ buat biduanita negara itu.
Dia juga memberikan kebebasan sepenuhnya kepada Siti untuk memilih karya yang mahu dipersembahkan bersama-sama.
“Saya sedar siapalah Noh Salleh mahu Siti Nurhaliza ikut serta di Cadenza of the Soul: Noh Salleh with Aubrey Suwito Orchestra. Tapi itu memang impian, bukan kerana beliau tidak pernah melupakan saya dalam banyak kegiatan seni termasuk konsert besarnya.
“Jadi dalam banyak keadaan saya memang akan dahulukan Siti Nurhaliza, ia umpama sebuah tindakan sopan daripada saya.
“Misalnya jika beliau setuju, saya beri ‘dulang lagu’, minta dan beri kebebasan beliau pilih sendiri lagu apa yang mahu dinyanyikan,” katanya sambil ketawa.
Bukan soal nama besar atau populariti yang dimiliki Siti, sebaliknya pelantun Angin Kencang itu menganggap hasrat berkenaan sebagai tanda penghargaan terhadap sokongan yang pernah diterimanya daripada penyanyi nombor satu negara itu.
Malah, Noh turut mengenang peluang menjadi penyanyi undangan pada Konsert Legacy 30 Tahun Siti Nurhaliza, Januari lalu, sebagai antara pengalaman yang cukup bermakna dalam perjalanan seninya.
Justeru, jika diberikan kesempatan untuk menyambut Siti pula di pentasnya sendiri, Noh pastinya mahu memastikan penyanyi itu berasa selesa dan bebas memberikan sentuhan tersendiri kepada persembahan mereka.
Sementelah katanya lagi, jika Siti sudi menerima pelawaannya, dia dapat melihat dinamik serta ‘ikatan’ yang terjalin antara penyanyi tersebut dengan Aubrey.
“Selepas saya terlibat dalam konsert Siti, sebagai pemuzik kecil, baru saya faham mengapa Siti dan Aubrey selalu ‘bersama’.
“Alangkah indah jika kerjasama mereka dapat saya bawa ke pentas Cadenza of the Soul: Noh Salleh with Aubrey Suwito Orchestra. Dan saya turut ada di situ,” ujar Noh teruja.
Aubrey Suwito beri penghormatan tertinggi
Kisah keinginannya mahu Siti terlibat dalam Cadenza of the Soul bukan semata ‘wayang meraih populariti’.
Namun konsert tersebut membawa makna besar buat dirinya, terutama apabila idea untuk menggabungkan muziknya dengan orkestra hadir Aubrey Suwito.
Apa lagi ia memberi pemahaman kepada dirinya tentang keterbukaan Aubrey yang membuatkan beliau menjadi kesayangan Siti dan kini kata Noh, dia sedang melewati fasa sama menerusi Cadenza of the Soul: Noh Salleh with Aubrey Suwito Orchestra.
Menurut Noh, perkara yang membuatkan kerjasama itu begitu istimewa adalah keinginan Aubrey untuk memperluas dimensi muziknya tanpa menghilangkan karakter asal yang sinonim dengan dirinya.
Peluang tersebut akuinya merupakan satu penghormatan tertinggi, apatah lagi Aubrey memahami identiti muzik yang dibinanya sepanjang kira-kira 20 tahun dalam industri.
“Aubrey Suwito yang saya segani datang dan melahirkan idea ini kepada saya. Itu adalah antara penghormatan tertinggi buat saya,” katanya.
“Aubrey datang kepada saya dan beliau beritahu tidak mahu kehilangan sentuhan seperti konsert saya sebelum ini. Beliau masih mahukan Noh Salleh yang mempunyai elemen French pop, tetapi dengan orkestra yang tidak mengganggu identiti saya,” ujarnya.
Mengakui kebanyakan persembahannya sebelum ini lebih sinonim dengan pendekatan akustik bersama band, Noh melihat konsert kali ini sebagai peluang untuk memperlihatkan sisi muziknya yang lebih besar menerusi iringan orkestra.
Bagaimanapun, dia tidak menafikan cabaran untuk memastikan konsert yang mahu dijadikan acara tahunan itu terus menawarkan kelainan.
“Saya cuba untuk buat konsert ini menjadi sesuatu yang tahunan. Tetapi perjuangannya adalah untuk memastikan setiap tahun ada kelainan daripada tahun sebelumnya. Ini percubaan kedua untuk mengadakan konsert Noh Salleh.
“Biasanya persembahan Noh Salleh lebih bersifat akustik dengan sebuah band. Saya juga ada sisi muzik yang lebih besar dan berkelas, tetapi sebagai pemuzik, kita sentiasa bergelut untuk menunjukkan bahawa kita boleh menjadi lebih baik daripada tahun sebelumnya,” katanya.
21 lagu, Aina Abdul turut tampil
Selain impian untuk melihat Siti Nurhaliza menjadi tetamu istimewa, konsert itu bakal menampilkan sekitar 21 lagu yang diberikan nafas baharu menerusi susunan muzik bersama Aubrey.
Noh juga bakal berkongsi pentas dengan Aina Abdul, rakan kolaborasinya menerusi lagu Sang Penikam, sekali gus menambah warna kepada persembahan yang menghimpunkan sisi berbeza perjalanan muziknya.
Bercakap tentang persembahan yang bakal dipersembahkan bersama Aina kelak, Noh berharap Aubrey mengekalkan bahagian ‘breakdown’ penyanyi tersebut yang disifatkan sebagai menarik.
“Saya sangat sayangkan dinamik Aina dalam bahagian breakdown lagu itu. Lagu Sang Penikam sudah diolah mengikut gaya Aina sehingga boleh dikatakan lagu itu sudah menjadi miliknya. Saya pun selalu beritahu Aina, ‘Adik, lagu ini awak punya, jadi terserah awak nak buat apa dengan lagu ini.’
“Jadi, saya sendiri teruja nak tengok apa yang Aubrey akan lakukan terhadap lagu itu. Saya tidak mahu persembahan kali ini sekadar mengulang perkara yang sama.
Cuma, kalau ditanya bahagian mana yang saya tak mahu diubah, mungkin breakdown di bahagian tengah itu kerana itulah kekuatan Aina, terutama cara dia mencari line dan melakukan ad-lib yang memang luar biasa,” katanya.
Dianjurkan bersama Altus Prohouse dan CK Star Entertainment, Cadenza of the Soul: Noh Salleh with Aubrey Suwito Orchestra merupakan konsert solo orkestra kedua buat Noh selepas beliau tampil bersama Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) di Dewan Filharmonik PETRONAS pada November tahun lalu.
Tiket berharga RM188 (CAT 3), RM268 (CAT 2), RM368 (CAT 1), RM488 (VIP), RM588 (VVIP & sesi Meet & Greet) serta RM788 (Twin Seat, Suite Room 1–4) boleh didapati menerusi Ticket2U atau Fantopia.