Primadona, Noor Kumalasari hanya mampu mendoakan yang terbaik buat penganjur Konsert GenKRU The Finale: One More Time, Iman Tang yang memasang hasrat untuk membawa pulang kakaknya, Anita Sarawak bagi membuat kemunculan khas.
Menurut Noor, peluang merealisasikan impian itu tetap sangat tipis berdasarkan keputusan Anita yang sudah lama memilih untuk meninggalkan dunia hiburan.
“Saya doakan yang terbaik untuk penganjur konsert KRU. Sebab mengenali kakak saya, jika dia kata tidak mahu lagi kembali dalam industri, bermaksud memang dia tidak mahu.
“Saya rasa harapan untuk bawa Kak Nita balik Malaysia untuk menjayakan konsert KRU adalah sangat tipis. Saya tidak akan menyalahkan Kak Nita,” katanya kepada Gempak.
Noor juga menegaskan dia tidak menyalahkan Anita sekiranya diva tersebut kekal dengan pendirian untuk tidak muncul di Malaysia.
Tambah Noor lagi, Anita kini menjalani kehidupan tenang jauh dari dunia glamor.
“Namun jika penganjur benar-benar berjaya bawa pulang Kak Nita untuk konsert KRU itu, penganjur itu memang sangat hebat. Tetapi jika Kak Nita kata ‘no’, bermaksud ‘no’.
“Dia sekarang mahu menjalani hidup yang biasa, macam kita orang-orang biasa ini. Dia tidak mahu lagi terlibat dalam dunia glamor. Dia hanya mahu menjadi suri rumah tangga.
“Dia sihat sahaja bersama keluarganya di sana. Saya pun sangat jarang berhubung dengan dia, sudah lama tidak berjumpa. Kami berbual pun setahun sekali sahaja, iaitu setiap hari raya,” tambahnya.
Terdahulu, Iman Tang memaklumkan pihaknya masih dalam rundingan untuk membawa pulang Anita bagi kemunculan istimewa pada Konsert GenKRU The Finale: One More Time yang bakal berlangsung di Stadium Nasional Hoki Bukit Jalil pada 22 November ini.