Ringkasan AI
- Datuk Nora Ariffin berkongsi cara dia menghadapi masalah berkaitan anak-anak dengan sentiasa menyokong dan tidak memusuhi mereka.
- Nora menegaskan bahawa walau apa pun keadaan, anak tetap darah daging dan perlu diberi kasih sayang tanpa syarat.
- Dia mengamalkan pendekatan memeluk anak-anak dan bermuhasabah diri atas kesilapan sebagai ibu bapa.
- Nora menasihatkan ibu bapa agar tidak mudah terpengaruh dengan kata-kata negatif dari orang luar terhadap anak mereka.
- Anak bongsu Nora, Putri Dahlia, menarik perhatian ramai selepas tampil tanpa hijab di AIM24 sebagai langkah memahami agama dengan lebih mendalam.
Penyanyi, Datuk Nora Ariffin berkongsi cara dirinya menangani dan berdepan dengan masalah berkaitan anak-anak.
Menurut Nora atau nama sebenarnya Wan Norafizah Ariffin, dia sama sekali tidak akan membuang atau memusuhi anaknya.
Perjelas pelantun lagu ‘Di Persimpangan Dilema’ itu, dia mahu anak-anak tahu bahawa dirinya akan sentiasa berada di samping mereka dalam apa jua keadaan.
“Nak suruh saya tampar atau halau dia daripada rumah ke? Macam mana buruk sekalipun anak kita, dia tetap anak dan darah daging kita.l
“Orang luar pulau, mengata, mengutuk, mengeji dan mencaci maki dia. Kalau kita buat benda yang sama, dia nak pergi mana?”
“Jadi pada saya, bila jadi benda-benda macam ini. Apa yang saya akan buat ialah saya peluk anak saya (mana-mana anak sekalipun).”
“Saya nak mereka (anak-anak) tahu yang apa saja terjadi, saya bersama mereka,” kongsinya.
Nora berkongsi perkara tersebut ketika menjadi tetamu sesi podcast ‘Our Next Guest Podcast’ yang dikendalikan pempengaruh Singapura, Dyn Norahim.
Tambah Nora, setiap ibu bapa itu juga tidak lari dari membuat kesilapan. Justeru, dia akan mengambil pendekatan untuk bermuhasabah diri atas setiap perkara yang berlaku.
“Apa jua yang berlaku, saya akan peluk anak-anak dan minta maaf pada diri saya. Minta maaf kalau-kalau saya ini terlepas pandang atau tak cukup pandai menjadi parents”.
“Kadang-kadang kita rasa yang kita dah didik dah tapi mungkin ada yang terlepas pandang. Kadang-kadang kita ingat kita betul sebab ‘parents’ kan. Tapi kita pun perlu minta maaf.”
Dalam pada itu, Nora sempat menitipkan pesan buat ibu bapa agar tidak terlalu terpengaruh dengan kata-kata negatif dan kata cacian dilemparkan orang luar.
“Nauzubillah tapi kita nak ke kalau anak kita ambil keputusan yang bukan bukan seperti menamatkan riwayat hidup mereka sebab tak ada tempat bergantung? Jangan terpengaruh sangat dengan kata-kata orang luar sebab pada penghujungnya mereka adalah anak kita,” ujarnya.
Terdahulu, penampilan anak bongsu kepada Nora iaitu Putri Dahlia yang tampil tanpa hijab ketika Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24) telah menyorot perhatian ramai.
Ujar Dahlia, keputusan itu dibuat sebagai langkah untuk memulakan perjalanan baharu dalam memahami agama dengan lebih mendalam.
Sumber: TikTok soutudeen