Sekilas
- Nubhan beri penjelasan mengenai dakwaan bekas isterinya, Dr Afifah Hidayah, tentang barangan peribadi yang dikatakan dicampak keluar dari kediaman semasa dia di luar negara.
- Nubhan tegaskan tindakan itu dibuat atas sebab tertentu dan mengikut nasihat peguam, serta menghormati proses mahkamah yang masih berjalan.
- Nubhan juga sedia beri kerjasama jika ada barang yang belum dipulangkan.
Bintang Gegar Vaganza 12 (GV12) Nubhan tampil memberikan penjelasan mengenai dakwaan bekas isterinya iaitu Dr Afifah Hidayah berkenaan dengan barangan peribadinya yang dikatakan telah dicampak keluar dari kediaman ketika dia berada di luar negara.
Menurut Nubhan, setiap tindakan yang dilakukan itu pasti mempunyai sebab tertentu dan tidak dilakukan dengan sewenang-wenangnya.
“Saya tidak boleh komen lebih kerana perkara ini masih berada di peringkat mahkamah. Setiap apa yang berlaku itu saya buat bersebab.
“Apa yang saya lakukan itu bukan secara terburu-buru atau membabi buta. Semuanya melalui nasihat daripada peguam juga.
“Jadi selebihnya saya tak dapat nak komen, saya minta maaf kerana saya menghormati proses mahkamah yang masih berjalan,” ujarnya.
Nubhan berkata demikian ketika ditemui selepas konsert separuh akhir Gegar Vaganza musim 12 (GV12) bertempat di Dewan Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Selangor pada Ahad.
Dalam pada itu, Nubhan juga turut menjawab dakwaan mengenai beberapa barangan peribadi yang dikatakan tidak dipulangkan kepada bekas isterinya.
“Sekiranya ada barang yang tak dipulangkan dan dia mahu buat laporan polis, saya tiada masalah. Saya tetap akan beri kerjasama,” jelasnya.
Terdahulu, Dr Afifah mendakwa Nubhan telah mencampak keluar barangan peribadi dari kediaman milik belas suaminya itu ketika dia sedang melancong ke luar negara.
Bagaimanapun, peguam syarie yang mewakili Nubhan iaitu Mohd Redzuan Ramli menafikan dakwaan kononnya barangan peribadi bekas isteri anak guamnya itu dicampak seperti yang diluahkan di media sosial.
Untuk rekod, Nubhan dan Dr Fie mendirikan rumah tangga pada 29 Ogos 2015, namun disahkan bercerai talak dua pada awal Disember lalu selepas melalui prosiding di Mahkamah Rendah Syariah Sepang, Selangor.
Hasil perkahwinan itu, pasangan ini dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aafiya, 9, Ahmad Aafan, 7, dan Afzan Nayille yang kini berusia 4 tahun.