Skip to main content

Berita Tempatan

Nubhan Pernah Lafaz Cerai Pada 2017, Kini Fail Pengesahan Dua Talak & Satu Rujuk

akberdin

Penyanyi dan usahawan, Nubhan hadir ke mahkamah hari ini bagi sebutan pertama permohonan pengesahan lafaz cerai terhadap isterinya, Dr. Afifah Hidayah Ahmad Tawfek.

Peguam yang mewakili Dr. Afifah, Datuk Akberdin Abdul Kader, berkata Nubhan pernah melafazkan cerai terhadap isterinya pada tahun 2017 namun telah merujuk semula dalam tempoh singkat.

Advertisement

“Hari ini merupakan tarikh sebutan pertama bagi permohonan plaintif, iaitu suami kepada anak guam saya.

"Nubhan memohon untuk mengesahkan dua lafaz cerai dan satu lafaz rujuk.

“Rupanya, pada tahun 2017, dia pernah melafazkan cerai sekali, tetapi telah merujuk semula dalam tempoh yang singkat.

"Namun, perkara itu tidak pernah didaftarkan, termasuklah rujuk berkenaan,” katanya ketika ditemui Gempak di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Sepang pada Khamis.

Tambahnya lagi, selepas proses pengesahan lafaz cerai selesai, kes akan diteruskan dengan isu-isu lain termasuk hak penjagaan anak dan harta sepencarian.

“Selepas ini, kita akan meneruskan dengan isu berkaitan anak, hak jagaan anak, harta sepencarian dan lain-lain perkara yang berkenaan.

"Memang ada dia menghantar surat kepada anak guam saya berkaitan isu-isu hak isteri selepas perceraian.

"Dia ada membuat tawaran, dan kami juga telah memberikan jawapan, namun perkara itu tidak diteruskan dan akhirnya senyap begitu sahaja. Itu berlaku sebelum Ogos,” katanya.

Dalam pada itu, Akberdin menjelaskan bahawa jika lafaz cerai dibuat di luar mahkamah, suami boleh dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa.

“Jika lafaz cerai dibuat di luar mahkamah, pihak berkuasa akan mencari dan menuduh suami atas kesalahan melafazkan cerai di luar mahkamah.

"Jadi, kita perlu menunggu keputusan mahkamah mengendors kedua-dua lafaz cerai itu terlebih dahulu, sebelum sebarang sijil dikeluarkan.

"Suami juga perlu membayar denda dahulu dan itu adalah proses biasa,” katanya.

“Sama ada proses ini panjang atau tidak, ia bergantung kepada keputusan hakim.

"Jika hakim bersetuju untuk mengendors kedua-duanya sekali dalam prosiding ini, kita akan menjimatkan masa.

"Namun, jika tidak, dia perlu menyelesaikan dahulu isu talak pertama dan rujuk itu, mendapatkan sijil rujuk, barulah proses seterusnya boleh diteruskan,” jelasnya.

Sekadar rekod, Nubhan dan Afifah Hidayah juga seorang doktor gigi mendirikan rumah tangga pada 29 Ogos 2015 selepas hampir setahun bertunang.

Perkahwinan mereka diserikan dengan tiga cahaya mata iaitu Aafiya, 8; Ahmad Aaffan, 6, serta Afzan Nayille yang berusia tiga tahun.

Must-Watch Video

Advertisement