Sekilas
- Nubhan Ahmad menyokong penuh jika bekas isterinya, Dr. Afifah Hidayah, ingin menceburi bidang seni atau apa sahaja kerjaya yang dipilih.
- Nubhan kini fokus pada kerjaya, perniagaan, dan menjaga hubungan baik demi anak-anak mereka yang berusia 8, 6, dan 3 tahun.
- Mahkamah Rendah Syariah Sepang mengesahkan lafaz talak Nubhan terhadap Dr. Fie adalah sah mengikut hukum syarak dan undang-undang keluarga Islam.
Bintang Gegar Vaganza 12 (GV12), Nubhan Ahmad tidak mempunyai sebarang halangan sekiranya bekas isteri iaitu Dr. Afifah Hidayah mempunyai hasrat untuk menceburi bidang seni.
Bahkan kata Nubhan, dia akan sentiasa menyokong apa sahaja keputusan yang dibuat oleh Dr. Afifah.
“Saya sentiasa menyokong sahajalah apa yang dia nak buat. Mahu jadi artis ke, nak jadi doktor ke, apa sahajalah,” ujarnya ringkas.
Nubhan berkata demikian ketika ditemui semasa program Hello Putrajaya Astro Home Of Live di IOI Putrajaya, baru-baru ini.
Mengulas mengenai kehidupannya kini, Nubhan bersyukur segalanya berjalan lancar dan dia lebih fokus kepada kerjaya, perniagaan serta anak-anak.
“Demi anak-anak kita akan kekalkan hubungan yang baik insya-Allah. Tak perlu saya nak bercerita dengan lebih lanjut sebabnya setiap orang lain caranya, lain pandangan dan pendapat.
“Jadi biar saya dan dia sahajalah yang menguruskan tentang perkara-perkara sebegini demi anak-anak.
“Alhamdulillah, kehidupan semuanya berjalan dengan lancar, saya pun fokus dengan kerjaya, perniagaaan, keluarga dan anak-anak.
“Saya hanya pandang ke hadapan dan buat yang terbaik untuk diri saya. Dari segi perbezaan, tak ada banyak bezanya.
“Rasanya sebab saya terus dengan tugas tugas biasa dan sekarang saya pun sibuk dengan Gegar Vaganza.
“Tentang karya seni, saya tak boleh nak ramal cuma saya buat apa yang terbaiklah. Sekiranya kerjaya nyanyian saya kembali, maka saya harus fokus pada karier.
“Tetapi dalam masa yang sama perniagaan juga akan diteruskan seperti biasa,” jelasnya.
Terdahulu, Mahkamah Rendah Syariah Sepang mengesahkan Nubhan sah bercerai dengan Dr. Fie selepas meneliti lafaz talak yang dibuat di luar mahkamah.
Hakim Umamuddin Yunus menetapkan bahawa lafaz talak kali kedua yang dilafazkan Nubhan pada 26 Ogos lalu adalah sah mengikut hukum syarak dan undang-undang keluarga Islam.
Untuk rekod, Nubhan dan Dr. Fie yang juga seorang doktor gigi mendirikan rumah tangga pada 29 Ogos 2015.
Hasil perkahwinan mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aafiya, 8, Ahmad Aaffan, 6, serta Afzan Nayille yang berusia tiga tahun.