Sekilas
- Diva M bersama pasukan Diva Hair Salon meluangkan masa dan menyediakan hidangan serta gunting rambut percuma untuk 112 penghuni Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras sempena cuti sekolah.
- Diva M menjadikan hari Jumaat sebagai waktu berkongsi rezeki dan menegaskan aktiviti kebajikan dilakukan tanpa niat mengubah persepsi masyarakat terhadap dirinya.
- Tawaran khidmat gunting rambut percuma akan diteruskan selagi salun beroperasi, sebagai sokongan berterusan kepada penghuni rumah kebajikan tersebut.
Bukan sedikit pandangan serong yang dilemparkan terhadap Diva M. Kisah silam, penampilan malah perjalanan hidupnya sering menjadi bahan penilaian, namun di sebalik segala persepsi itu, ada sisi lain usahawan dan pempengaruh berkenaan yang mungkin tidak ramai tahu.
Diva M atau nama sebenarnya Mohd Muzakir mengakui dia tidak mampu mengawal bagaimana masyarakat melihat dirinya, sebaliknya memilih untuk meneruskan kehidupan dan melakukan perkara yang dirasakan mampu memberi manfaat kepada orang lain.
Antaranya, menjadikan hari Jumaat sebagai salah satu waktu untuk berkongsi rezeki sekiranya mempunyai kesempatan dan kemampuan.
Terbaharu, Diva M bersama beberapa kakitangan Diva Hair Salon meluangkan masa menyantuni 112 penghuni Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras sempena cuti persekolahan.
Bukan sekadar datang menyerahkan sumbangan sebelum pulang, mereka membawa hidangan makan tengah hari dan pencuci mulut untuk dinikmati bersama penghuni rumah kebajikan berkenaan.
“Orang boleh pandang saya macam-macam. Saya pun ada kisah silam dan saya tak boleh ubah apa yang sudah berlaku.
“Tetapi kalau ada kesempatan dan rezeki, memang saya cuba jadikan hari Jumaat sebagai hari untuk berkongsi dengan orang lain.
“Sebelum ini kami pernah ke masjid dan rumah warga emas. Kali ini kebetulan dalam musim cuti sekolah, jadi kami memilih untuk datang bertemu dan makan tengah hari bersama anak-anak di sini,” katanya.
Tak buat untuk ubah persepsi orang
Menurut Diva M, aktiviti sedemikian bukan dilakukan untuk mengubah pandangan masyarakat terhadap dirinya.
Sebaliknya, dia mahu terus berkongsi mengikut kemampuannya tanpa terlalu memikirkan penilaian orang lain.
“Saya tak boleh paksa orang untuk suka atau fikir baik tentang saya. Itu hak masing-masing. Apa yang penting, kalau saya ada kemampuan untuk buat sesuatu yang baik, saya buat.
“Tak semestinya tunggu kita kaya atau ada banyak baru hendak berkongsi. Apa yang kita mampu, kita berilah,” katanya.
Malah, kunjungan berkenaan tidak berakhir dengan jamuan makan tengah hari semata-mata.
Buka pintu salun kepada 112 penghuni
Pengusaha Diva Hair Salon di Kota Damansara itu turut menawarkan khidmat gunting rambut secara percuma kepada kesemua 112 penghuni Rumah Kasih Harmoni.
Bukan hanya untuk sekali kunjungan, tawaran tersebut diberikan secara berterusan selagi salunnya masih beroperasi dan mampu menyediakan perkhidmatan berkenaan.
“Saya beritahu pihak rumah, kalau anak-anak di sini perlukan khidmat gunting rambut, mereka boleh datang ke salun.
“Ini bukan untuk sekali sahaja. Selagi kami masih beroperasi dan mampu memberikan perkhidmatan itu, kami akan buat secara percuma. Saya mahu mereka tahu pintu salun kami sentiasa terbuka untuk mereka,” katanya.
Sementara itu, Pengetua Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras, Jamaluddin Wahab menghargai kesudian Diva M bersama pasukannya meluangkan masa serta membantu penghuni di bawah jagaan mereka.
“Kami berterima kasih atas kesudian Diva M dan pasukannya datang menyantuni anak-anak di sini, selain membawa makanan untuk dinikmati bersama.
“Pihak kami juga menghargai tawaran beliau untuk menyediakan perkhidmatan gunting rambut secara percuma kepada anak-anak di bawah jagaan kami. Bantuan seperti ini sedikit sebanyak dapat membantu keperluan mereka dari semasa ke semasa,” katanya.
Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras yang ditubuhkan pada 2007 menempatkan anak yatim, yatim piatu serta golongan asnaf.
Ketika ini, seramai 112 penghuni berusia antara satu hingga 17 tahun berada di rumah berkenaan, terdiri daripada 61 lelaki dan 51 perempuan.
Aktiviti kebajikan juga bukan sesuatu yang baharu buat Diva M apabila sebelum ini dia bersama pasukan salunnya pernah mengunjungi Rumah Seri Kenangan Cheras untuk menyediakan khidmat gunting rambut percuma kepada warga emas.
Bagi Diva M, apa sahaja persepsi yang masih mengiringi perjalanan hidupnya bukan alasan untuk berhenti melakukan sesuatu yang mampu memberi manfaat kepada orang lain.