Sekilas
- Owen Cooper, pelakon remaja berusia 16 tahun, memenangi Anugerah Aktor Pembantu Terbaik di BAFTA TV Awards atas lakonannya dalam drama Adolescence di Netflix.
- Cooper membawa watak Jamie Miller, remaja yang membunuh rakan sekolah, dan rakaman adegan penting dilakukan hanya dalam satu rakaman.
- Selain BAFTA, Cooper juga pernah menang Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik di Anugerah Emmy pada usia 15 tahun, mencipta sejarah sebagai pelakon termuda dalam kategori tersebut.
Owen Cooper bukan sesiapa sebelum tahun 2025. Namun setelah membintangi Adolescence, kehidupan remaja itu berubah. Penampilan sulungnya dalam drama yang ditayangkan di Netflix itu membawa tuah.
Cooper baru sahaja diumumkan sebagai pemenang Aktor Pembantu Terbaik di BAFTA TV Awards. Kemenangan tersebut menyaksikan Cooper mencetak bukan hanya sejarah peribadi tetapi buat industri apabila dinobatkan kemenangan pada usia 16 tahun.
Menerusi ucapannya selepas mengambil trofi, Cooper dengan lancar memberitahu situasi yang berlaku selepas dia terlibat dengan naskhah tersebut adalah ‘gila’.
“Setahun lalu saya di anugerah sama sebagai pemberi trofi. Namun tahun ini, saya menjadi penerima trofi. Jadi saya rasa ia macam ‘gila’.
“Terima kasih BAFTA dan paling penting terima kasih Adolescence. Anda adalah keluarga saya sekarang,” ucapnya seperti dilaporkan BBC.
Selain berterima kasih, Cooper juga mengatakan ada tiga perkara yang membuatkan dirinya berjaya.
“Pertama, obsesi, kedua, impian dan ketiga The Beatles,” katanya.
Cooper membawa watak Jamie Miller, remaja berusia 13 tahun yang membunuh rakan wanita di sekolahnya. Rakaman yang dijalankan berlansung hanya dengan ‘satu rakaman’.
Sementara itu sewaktu bercakap kepada media, Cooper mengatakan setiap kali namanya tercalon dalam anugerah termasuk Emmy, Golden Globe atau SAG Award, dia akan selalu mengenang perjalanan awal saat dirinya pertama kali menghadiri uji bakat.
“Setiap kali saya berada di sesebuah acara dan nama dipanggil, saya akan terkenang hari pertama pergi uji bakat, hari pertama jalani penggambaran dan bertemu semua orang yang hebat, saya bersyukur.
“Ini adalah dua tahun yang macam mimpi. Semuanya telah berubah dan saya bertemu ramai orang baik serta mengembara ke seluruh dunia dengan keluarga saya. Ia sangat mengujakan,” ujarnya lagi.
Terdadulu, remaja ini juga mencipta sejarah sebagai pelakon termuda menang Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik dalam kategori Siri Terhad atau Antologi atau Filem di Anugerah Emmy pada tahun lalu. Dia berusia 15 tahun pada waktu tersebut.