Skip to main content

Hiburan

Pak Nil Realisasi Impian, Tubuhkan Kumpulan K4LAM Dengan Bawa Eksperimen AI Ke Pentas Muzik

Pak Nil

Sekilas

  • Datuk Aznil Haji Nawawi atau Pak Nil menggunakan kecerdasan buatan (AI) dalam muzik dengan menubuhkan kumpulan vokal K4LAM yang menggabungkan elemen AI dan kreativiti manusia.
  • K4LAM terdiri daripada empat anggota muda yang berpengalaman dalam seni kreatif dan dibimbing oleh penerbit terkenal AG Coco.
  • Single pertama K4LAM berjudul MUSA menandakan eksperimen Pak Nil dalam memanfaatkan teknologi AI sebagai alat bantu dalam penghasilan muzik.
Advertisement

Ketika kecerdasan buatan (AI) semakin mengubah landskap penghasilan karya kreatif, pesohor seni Malaysia, Datuk Aznil Haji Nawawi memilih untuk tidak sekadar menjadi pemerhati, sebaliknya bereksperimen serta memanfaatkan teknologi tersebut dalam evolusi muzik.

Aznil atau sinonim dengan panggilan Pak Nil, 63, menyifatkan penggunaan AI dalam penghasilan muzik tidak sewajarnya dilihat sebagai fenomena yang menafikan peranan manusia dalam seni, sebaliknya sebagai perkembangan teknologi yang boleh memperluas kemungkinan kreatif seseorang pengkarya.

Advertisement

Justeru, setelah lebih 30 tahun menekuni dunia hiburan yang membuat namanya mekar subur dalam pelbagai cabang terutama dunia pengacaraan, lakonan, dee jay radio, penerbitan dan nyanyian, figura yang diberi julukan Pengacara Nombor 1 Malaysia ini mencipta sejarah baharu sekaligus merealisasikan impian yang disimpan lama.

Dengan bangga, Pak Nil memperkenalkan penubuhan kumpulan vokal yang menampilkan kekuatan harmoni sebagai identiti utama, hasil cetusan idea beliau yang diberi nama K4LAM.

Bercerita mengenai idea menggunakan AI lewat karya K4LAM, Pak Nil memberitahu mula mendalami penggunaan AI dalam muzik selepas mempelajari cara membentuk ‘prompt’ yang tepat bagi menghasilkan struktur bunyi, irama dan suasana muzik yang menepati gambaran kreatifnya.

“Bagi saya, AI seperti satu lagi alat dalam dunia muzik. Kita sudah lama menggunakan teknologi untuk membantu menghasilkan muzik. Bezanya sekarang, alat itu semakin pintar dan mampu memberi lebih banyak kemungkinan,” ujar Pak Nil.

Menurutnya, sejarah muzik sendiri memperlihatkan bagaimana teknologi berulang kali mengubah kaedah manusia menghasilkan karya daripada teknologi rakaman, instrumen elektronik dan synthesizer misalnya, kepada produksi muzik berasaskan komputer serta teknologi digital sesuai dengan evolusi muzik.

Justeru, beliau melihat AI sebagai kesinambungan daripada evolusi tersebut, bukannya pengakhiran kepada kreativiti manusia.

“AI ini bukan datang untuk menggantikan manusia. Ia cuma membuka satu lagi ruang untuk manusia mencuba sesuatu yang sebelum ini mungkin mengambil masa atau memerlukan pendekatan yang berbeza.

“AI adalah alat dan yang menentukan bagaimana alat itu digunakan tetap manusia. Apa yang penting bukan semata-mata siapa atau apa yang menghasilkan bunyi itu. Persoalannya bagaimana manusia menggunakan teknologi tersebut dan bagaimana kita bertanggungjawab terhadap hasilnya,” hujahnya.

K4LAM yang dibentuk secara berperingkat bermula Februari 2026 dianggotai oleh gabungan empat lelaki yang dipercayai Pak Nil mampu mengetengahkan konsep terutama eksperimen gabungan AI dan manusia.

Bukan ‘orang asing’, empat pengemudi K4LAM telah memiliki portfolio tersendiri dalam bidang seni kreatif. 

Mereka adalah Isa Khan, 33, Danny, 22, Zulhilmi Zolkefli, 28, dan Allif Firdaus , 25, yang kesemuanya mendapat bimbingan daripada penerbit berprofil tinggi, AG Coco.

K4LAM juga ditubuhkan hasil pertemuan Pak Nil bersama Isa Khan sebelum Danny, Zulhilmi dan Aliff menyertai kumpulan ini setelah lulus uji bakat terbuka dan disifatkan sesuai dengan konsep yang diketengahkan berasaskan idea besar Pak Nil sebelum AG Coco memberi sentuhan emasnya memperkemas dan mempersiapkan K4LAM dalam pasaran muzik.

Maka dengan niat memanfaatkan AI sebagai sebuah eksperimen, AG Coco menyempurnakan hasrat Pak Nil menerusi penghasilan single pertama K4LAM yang diberi judul MUSA.

Anda mungkin berminat dengan

Yonex OCM 2025 Men's Training Tee 3525

Yonex OCM 2025 Men's Training Tee 3525

VELOCITY Tri-Blend Running T-Shirt Men in Green Terrain/Heather by PUMA

VELOCITY Tri-Blend Running T-Shirt Men in Green Terrain/Heather by PUMA

T7 Baby T-Shirt Youth in Poised Pink by PUMA, 15-16Y

T7 Baby T-Shirt Youth in Poised Pink by PUMA, 15-16Y

adidas Football Manchester United 24/25 Third Jersey Men White IY7806

adidas Football Manchester United 24/25 Third Jersey Men White IY7806

Football Japan 26 Home Jersey Men Blue KD3345

Football Japan 26 Home Jersey Men Blue KD3345

Kikilala Baby Boy Suit Sets World Cup BSB587

Kikilala Baby Boy Suit Sets World Cup BSB587

Must Watch Video

Advertisement