Sekilas
- Filem animasi Papa Zola The Movie mencatat kutipan pecah panggung RM55 juta setakat 6 Januari 2026, mengatasi filem antarabangsa seperti Avatar: Fire and Ash dan Zootopia 2.
- Filem ini mengisahkan Papa Zola yang berusaha menyelamatkan anaknya yang diculik makhluk asing sambil melindungi dunia daripada ancaman tersebut.
- Papa Zola The Movie kini ditayangkan di Malaysia, Singapura, Brunei dan bakal memasuki pasaran antarabangsa termasuk Indonesia, India, Vietnam serta negara Timur Tengah pada 2026.
Filem animasi Papa Zola The Movie terus mencipta fenomena apabila merekodkan kutipan pecah panggung mencecah RM55 juta setakat 6 Januari 2026.
Kutipan itu sekaligus meletakkan filem keluaran bersama MONSTA dan Astro Shaw ini di kedudukan lebih tinggi berbanding beberapa judul antarabangsa terkenal termasuklah Avatar: Fire and Ash yang mencatat kutipan sebanyak RM33 juta serta Zootopia 2 yang mencatat kutipan sebanyak RM32 juta.
Pencapaian luar biasa Papa Zola The Movie ini turut membuktikan bahawa filem animasi tempatan bukan sahaja mampu berdaya saing malahan berjaya menewaskan filem bertaraf antarabangsa.
Ia juga membuktikan betapa padunya sokongan yang diberikan penonton Malaysia terhadap karya filem tempatan yang mempunyai jalan cerita begitu dekat dengan jiwa masyarakat seperti filem Papa Zola The Movie.
Papa Zola The Movie mengisahkan Papa Zola, seorang bapa yang bekerja keras menyara keluarga kecilnya. Tanpa diduga, dia bertemu semula dengan rakan lama yang pernah berkhidmat bersamanya dalam organisasi rahsia P.A.P.A (Protect and Prevent Agency).
Namun keadaan menjadi genting apabila anaknya, Pipi, diculik makhluk asing. Papa Zola bersama Mama Zila perlu bertindak pantas untuk menyelamatkan Pipi dan melindungi dunia daripada ancaman tersebut.
Filem ini kini ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei. Filem ini bakal melangkah panggung antarabangsa bermula Januari 2026 di Indonesia dan di India, Vietnam dan pasaran Timur Tengah yang merangkumi Arab Saudi, UAE, Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar serta Turki pada April 2026.