Sekilas
- Filem animasi Malaysia, Papa Zola The Movie, kini ditayangkan di pawagam Asia Pasifik dan Timur Tengah sepanjang September 2026, menandakan pengaruhnya yang meluas di peringkat antarabangsa.
- Filem ini mencatat sejarah sebagai filem animasi Malaysia dengan edaran pawagam paling meluas dan kutipan tertinggi dalam sejarah negara, dengan lebih RM69 juta dan 4.5 juta penonton di Asia Tenggara.
- Monsta akan meneruskan momentum kejayaan ini dengan siri animasi baharu, Papa Pipi Series, yang akan ditayangkan di Netflix dan Monsta Network menjelang penghujung 2026.
Selepas mencipta fenomena luar biasa di Malaysia dan Asia Tenggara, Papa Zola The Movie kini meluaskan pengaruh ‘Kebenaran’ di pentas antarabangsa menembusi pawagam di Asia Pasifik dan Timur Tengah sepanjang September 2026.
Menurut Pengarah Pemasaran Monsta, Faiz Zainal Aabidin, kejayaan ini mencerminkan keyakinan rakan pengedar antarabangsa terhadap kualiti kandungan animasi Malaysia.
"Setiap pasaran baharu yang menerima Papa Zola The Movie merupakan satu pengiktirafan terhadap kemampuan karya kreatif tempatan untuk bersaing diperingkat global.
“Kami amat bersyukur dengan sokongan penonton dan kepercayaan yang diberikan oleh rakan-rakan pengedar antarabangsa.
“Malah hak itu juga menjadi pemangkin untuk kami terus menghasilkan karya bertaraf dunia yang dekat di hati penonton”, ujarnya.
Lebih membanggakan lagi, pencapaian tersebut juga mencatat satu lagi sejarah baharu apabila Papa Zola The Movie menjadi filem animasi Malaysia dengan edaran pawagam paling meluas di peringkat antarabangsa.
Perkara itu sekali gus menjadi simbol kemajuan industri animasi Malaysia yang mampu berdiri sebaris dengan filem antarabangsa serta mendapat penerimaan merentas budaya dan bahasa.
Kejayaan membawa Papa Zola The Movie ke lebih banyak negara hadir selepas filem ini mencatat pencapaian membanggakan apabila meraih kutipan box office lebih RM69 juta dan menarik lebih 4.5 juta penonton di seluruh Asia Tenggara.
Papa Zola The Movie juga muncul sebagai filem animasi tempatan dengan kutipan tertinggi dalam sejarah Malaysia.
Filem animasi terbitan MONSTA ini bakal memulakan tayangan di Korea Selatan pada 2
September, diikuti Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Kuwait pada 23 September, selain turut memasuki pawagam di Australia, New Zealand dan India.
Momentum Papa Zola The Movie akan diteruskan menerusi Papa Pipi Series iaitu siri animasi baharu yang menampilkan Papa Zola, Mama Zila dan Pipi Zola dalam lebih banyak kisah kekeluargaan yang dekat dengan kehidupan seharian.
Siri itu bakal menemui penonton dan peminat ‘Kebenaran’ di platform penstriman Netflix dan Monsta Network (YouTube) menjelang penghujung 2026.