Sekilas
- Filem animasi Papa Zola The Movie berjaya meraih kutipan RM50 juta dalam 22 hari tayangan di Malaysia dan Brunei.
- Filem ini mencatat lebih 3 juta penonton dan kekal nombor satu di pawagam selama 22 hari berturut-turut.
- Papa Zola The Movie akan ditayangkan di pawagam antarabangsa mulai Januari dan April 2026 di beberapa negara termasuk Indonesia, India, dan Timur Tengah.
Filem animasi terbitan MONSTA dengan kerjasama Astro Shaw, Papa Zola The Movie terus mencipta pencapaian membanggakan selepas berjaya meraih kutipan sebanyak RM50 juta dalam tempoh 22 hari tayangan di pawagam Malaysia dan Brunei.
Angka itu turut mencatat angka lebih 3 juta penonton, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara filem tempatan paling mendapat sambutan.
Bukan itu sahaja, Papa Zola The Movie turut kekalmenduduki carta No.1 pawagam selama 22 hari berturut-turut sekaligus menunjukkan satu prestasi luar biasa yang jarang dicapai, walaupun berdepan persaingan filem antarabangsa berskala besar.
Walaupun telah memasuki minggu ketiga tayangan, momentum Papa Zola The Movie masih kekal kukuh, dengan kehadiran penonton yang konsisten dari hari ke hari, didorong oleh sokongan penonton tempatan serta perbualan organik yang terus berkembang di media sosial.
Melihat kepada sambutan yang berterusan ini, Papa Zola The Movie dijangka terus mencatat kutipan positif sepanjang tempoh cuti sekolah, apabila pawagam terus menjadi pilihan aktiviti percutian keluarga untuk menonton bersama.
Papa Zola The Movie bakal melangkah ke panggung antarabangsa bermula 23 Januari 2026 di Indonesia dan di India, Vietnam dan pasaran Timur Tengah yang merangkumi Arab Saudi, UAE, Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar serta Turki pada April 2026.