Tidak memiliki vokalis tetap di dalam Search KidDin bukan masalah yang perlu dibimbangkan.
Sebagai sebuah kumpulan dengan anggotanya sudah memiliki pengalaman luas, vokalis yang diperlukan untuk mengisi posisi tersebut juga pada hemat Din tidak memiliki syarat yang ketat.
Advertisement
Pernah menggunakan khidmat Denden dan Amir Masdi, Search KidDin kini meletak tanggungjawab vokalis di bahu Pasya.
Kata Din dan Kid, bukan soal popular atau terkenal yang patut menjadi masalah.
“Tapi soal kualiti. Pasya punya sikap positif, karakter dan ada kualiti yang kami cari. Paling penting mudah memberi kerjasama.
“Kami juga bukan sangat terbuka dengan kerjasama meski mereka adalah pemain baharu. Kami okay berkongsi pentas, kata Din, 62.
Lantaran itu tidak hairan apabila Pasya akan menemani Search KidDin yang akan mengadakan konsert berskala besar di Sarawak menerusi Konsert Fenomena Samurai bersama XPDC pada 13 Disember ini.
Dan ia bukan penampilan pertama tetapi lebih dua kali Pasya sudah bersama Search KidDin. Pasya atau nama sebenarnya, Faizul Ashraff Fauzi, 31, malah mengaku sudah semakin selesa tampil bersama Search KidDin yang disifatkannya sebagai legenda itu.
“Selepas bersama mereka di Pulau Pinang, saya semakin serasi dengan mereka.
Search sebuah band legenda, jadi pengalaman ini sangat berharga. Saya yakin konsert kali ini lebih seronok dan lebih 'ganas'," katanya bekas peserta Mentor ini.
Konsert Fenomena Samurai yang menampilkan kolaborasi julung kali Search bersama XPDC anjuran Seni Simfoni dan Bintang Batu Event bakal berlangsung di Stadium Sarawak pada 13 Disember ini.