Sekilas
- Pasya menggunakan platform media sosial Threads untuk mempromosikan single terbarunya, Tak Tertanggung Lagi, dengan mencuit isu isteri curang yang sedang hangat dibincangkan.
- Beliau bekerjasama dengan Aryan Putra Entertainment dan A*CAP untuk strategi pemasaran yang melibatkan pemahaman algoritma dan trend semasa di media sosial.
- Pasya menganggap dirinya sebagai produk seni yang perlu menyesuaikan karya dengan pasaran, walaupun jiwa muziknya lebih ke arah rock.
Solois Pasya mendedahkan memanfaatkan platform media sosial yang tidak asing dalam kalangan pengguna dengan menjadi salah seorang netizen saat mempromosikan single terkininya, Tak Tertanggung Lagi.
Melihat kesempatan menggunakan media sosial sebagai inisiatif yang baik mempromosikan karya terkininya, Pasya terlebih dahulu berbincang dengan pihak Aryan Putra Entertainment (APE) dan A*CAP (Archive Capital).
Setelah mendapat persetujuan, pemilik nama sebenar Faizul Ashraff Fauzi, 32, melaksanakan modus operandi dengan ‘memancing’ pengguna platform Threads yang disifatkan sebagai toksik menerusi perkongsian mengenai isteri yang curang dengan artis.
“Ini pertama kali saya jadi ‘makcik bawang’ dan netizen sebab lihat platform Threads sangat toksik. Jadi saya ‘curah’ lagi toksik dalam toksik,” ujar Pasya.
Pasya ditemui pada sidang media pelancaran single dan video klip Tak Tertanggung Lagi dan Aku Tekad milik Ucop serta perkenalan Aryan Putra Entertainment yang berasal dari Limbang, Sarawak.
Menjelaskan lebih lanjut mengenai tindakannya ‘menunggang’ toksin media sosial, Pasya memberitahu sebelum melakukan sesuatu, dia suka belajar dan memahami corak seperti algoritma yang sedang diperbincangkan.
“Jadi bila saya buka Insight di Threads, saya lihat topik paling tinggi tentang curang.
“Saya fikir sesuai dengan Tak Tertanggung Lagi punya jalan cerita iaitu lagu tentang isteri curang.
“Jadi saya ‘tunggang’ isu curang itu dengan sengaja cuit tentang ‘isteri yang curang dengan seorang artis’.
“Dan isu tersebut mendapat perhatian. Secara tak langsung ia menjadi salah satu strategi mempromosikan lagu tersebut,” ujar Pasya sambil menegaskan zaman ini artis juga perlu sama-sama bekerja untuk melariskan produk.
Sambil memberitahu Tak Tertanggung Lagi sebagai projek ‘one off’ bersama APE, Pasya menyatakan sebagai anak seni, dia adalah sebuah produk.
Justeru adalah sangat mudah untuk membezakan pekerjaannya sebagai penyanyi solo dan vokalis Search bersama KidDin.
“Pasya adalah sebuah produk. Sewaktu bersama Search, ia adalah impian masa kecil dan saya sebagai peminat kumpulan tersebut sejak sekolah.
“Walaupun jiwa saya rock, saya perlu faham industri dan selok-beloknya. Jadi walaupun saya ada keinginan untuk menghasilkan lagu rock atau keras misalnya, saya perlu fikir tentang duit yang dikeluarkan untuk menghasilkan lagu saya.
“Jadi saya perlu tahu dan ikut pasaran seperti penghasilan lagu Tak Tertanggung Lagi,” katanya.