Sekilas
- Seorang pelakon wanita drama kepolisan terkenal ditahan selepas ujian saringan awal mendapati positif dadah di sebuah pusat hiburan tidak berlesen di Raja Chulan, Kuala Lumpur.
- Serbuan Op Noda dijalankan oleh Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) bersama IPD Dang Wangi pada jam 3.15 pagi.
- Pelakon berusia 40 tahun itu sudah dibebaskan dengan jaminan polis dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
Pelakon wanita yang membintangi drama kepolisan terkenal sudah dibebaskan dengan jaminan polis selepas positif dadah ketika berhibur di sebuah pusat hiburan tidak berlesen di Raja Chulan, Kuala Lumpur, semalam.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam, pelakon wanita itu sudah dibebaskan dengan jaminan polis dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
Pada Selasa, media melaporkan serbuan Op Noda itu dijalankan Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi jam 3.15 pagi.
Menurut sumber, pelakon wanita itu yang juga pernah menyertai rancangan realiti nyanyian ditahan di dalam salah satu bilik VIP bersama beberapa individu lain.
Ujian saringan awal ke atas pelakon berusia 40 tahun terbabit mendapati dia positif amphetamine, methamphetamine dan ketamin.
Hasil pemeriksaan juga mendapati premis terbabit gagal mengemukakan lesen perniagaan yang sah.
Sumber berkata, dalam serbuan itu seramai 14 orang ditahan terdiri penjaga premis, tujuh lelaki dan enam wanita.
Kesemua mereka kemudian dibawa ke IPD Dang Wangi untuk tindakan selanjutnya.
Sumber: Sinar Harian