Berita pemain bola sepak Indonesia, Pratama Arhan menceraikan isterinya, Azizah Salsha selepas dua tahun mendirikan rumah tangga mengejutkan banyak pihak.
Hal ini lantaran khabar perpisahan pasangan selebriti itu diketahui media secara tidak sengaja sewaktu membuat liputan kes perceraian di mahkamah.
Advertisement
Selain ramai yang terkejut, banyak reaksi daripada warganet menyokong tindakan Pratama yang kini bermain untuk liga Thailand itu berpisah dengan Azizah.
Malah di ruangan komen Instagramnya, tidak sedikit warganet yang memanjat kesyukuran dan mendoakan agar pemain bola berusia 23 tahun itu dipertemukan dengan jodoh baharu yang lebih baik, lapor Viva.co.id.
“Alhamdulillah,” tulis seorang warganet.
“Alhamdulillah, semoga dapat isteri yang solehah ya next, amin,” tulis yang lain pula.
“Cari pasangan dunia akhirat,” komen seterusnya ditinggalkan warganet.
“Akhirnya dia sedar dengan sikap Nurul (Azizah),” kata seorang warganet.
Komen-komen ‘bersyukur’ itu ditinggalkan warganet selepas rumah tangga Pratama dan Azizah pernah dilanda kontroversi pada Ogos tahun lalu.
Wanita itu dikatakan curang namun Azizah menafikan dakwaan tersebut. Azizah juga kemudian didakwa sebagai seorang wanita yang dirakam dalam sebuah video lucah dan sempat ‘ditangkap’ keluar bersama bekas kekasihnya.
Pasangan itu berkahwin pada Ogos 2023.