Sekilas
- Festival Filem Eropah Malaysia (EUFF) ke-26 akan berlangsung dari 26 November hingga 13 Disember 2026 di TGV Pavilion Kuala Lumpur dengan tayangan 20 filem dari 20 negara Eropah dan sekitarnya.
- Filem pembukaan adalah Fjord arahan Cristian Mungiu, pemenang Palme d’Or, manakala filem penutup ialah Hello Betty dari Switzerland.
- EUFF juga bekerjasama dengan Astro First untuk menayangkan filem terpilih secara dalam talian mulai Januari 2027, memudahkan penonton di seluruh Malaysia menikmati karya Eropah.
Festival Filem Eropah Malaysia (EUFF) edisi ke-26 bakal membuka tirainya pada 26 November ini menerusi tayangan filem Fjord, arahan Cristian Mungiu yang meraih anugerah Palme d’Or di Festival Filem Cannes tahun ini.
Berlangsung sehingga 13 Disember 2026 di TGV Pavilion Kuala Lumpur, festival tersebut menampilkan 20 filem dari 20 negara, merangkumi 17 negara anggota Kesatuan Eropah serta Norway, Switzerland dan Ukraine.
Bertemakan ATLAS, edisi kali ini menghimpunkan karya-karya yang mendapat pengiktirafan di festival filem antarabangsa, termasuk lapan filem yang pernah ditayangkan di Cannes dan tiga lagi yang bertanding di Festival Filem Venice.
Meraikan 26 tahun penganjuran sinema Eropah di Malaysia, EUFF boleh dianggap sebagai festival filem yang paling lama dianjurkan di negara ini.
Edisi kali ini dipersembahkan oleh Delegasi Kesatuan Eropah ke Malaysia dan Blackflag, sekali gus menandakan tahun pertama kerjasama selama empat tahun yang akan diteruskan sehingga 2029.
Antara filem yang menjadi tarikan ialah Fjord lakonan Sebastian Stan dan Renate Reinsve, yang mengisahkan sebuah keluarga Romania yang menetap di Norway sebelum kehidupan mereka menjadi perhatian pihak berkuasa.

Festival ini turut menampilkan Sentimental Value arahan Joachim Trier, La Grazia karya Paolo Sorrentino serta Silent Friend arahan Ildikó Enyedi yang dibintangi Tony Leung Chiu-wai dan Léa Seydoux.
Filem ini menghadiahkan Mungiu kemenangan Palme d’Or buat kali kedua, sekali gus meletakkan beliau dalam kalangan segelintir pengarah yang pernah memenangi anugerah berprestij itu sebanyak dua kali.
Sementara itu, Hello Betty arahan Pierre Monnard dari Switzerland pula dipilih sebagai filem penutup festival.

Sementara itu, Orphan merupakan karya terbaharu László Nemes, pengarah pemenang Anugerah Akademi menerusi Son of Saul.
Dua lagi judul hadir terus daripada pertandingan utama Festival Filem Cannes tahun ini, iaitu Parallel Tales arahan Asghar Farhadi, dibintangi Isabelle Huppert, Catherine Deneuve, Virginie Efira dan Vincent Cassel, serta The Beloved arahan Rodrigo Sorogoyen, yang menampilkan Javier Bardem sebagai seorang pengarah terkenal yang memilih anak perempuannya yang telah lama terpisah daripadanya untuk membintangi filem baharunya.
Turut menyertai barisan ini ialah Everytime arahan Sandra Wollner, pemenang Anugerah Un Certain Regard, serta Young Mothers karya Jean-Pierre dan Luc Dardenne, dua kali pemenang Palme d’Or, yang meraih anugerah Lakon Layar Terbaik di Cannes pada 2025.
Program tahun ini turut memberi ruang kepada penemuan karya-karya baharu.
Filem sulung Lauri-Matti Parppei, A Light That Never Goes Out, meraih tujuh Anugerah Jussi di Finland, termasuk Filem Terbaik.
Filem cereka pertama Sven Bresser, Reedland, pula membuat tayangan perdana di Minggu Pengkritik Cannes.
Waves arahan Jiří Mádl, yang mengisahkan wartawan Radio Czechoslovakia pada tahun 1968, telah disenarai pendek bagi Anugerah Akademi kategori Filem Cereka Antarabangsa Terbaik.
Katarína Gramatová pula memenangi anugerah Pengarah Terbaik di Anugerah Czech Lion menerusi Promise, I'll Be Fine.
Penonton muda juga tidak dilupakan dengan tayangan The Diary of Paulina P. dari Croatia, yang diadaptasi daripada sebuah buku kanak-kanak yang amat digemari.
EUFF x Astro First
Pada tahun ini, pengalaman festival turut diperluaskan melangkaui pawagam.
Menerusi EUFF x Astro First, sebuah inisiatif khas bersama Rakan Rasmi Astro, filem-filem terpilih daripada program EUFF edisi ke-26 akan tersedia di Astro First, perkhidmatan pawagam di rumah oleh Astro, bermula Januari 2027.
Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha baharu Astro untuk menyokong festival filem di Malaysia, sekali gus membawa filem-filem Eropah yang memenangi pelbagai anugerah ke kediaman penonton di seluruh negara, termasuk mereka yang tidak berpeluang menghadiri festival di Kuala Lumpur. Senarai filem terpilih akan diumumkan pada penghujung tahun ini.
Duta Besar Kesatuan Eropah ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Rafael Daerr, akui berasa teruja dengan kembalinya Festival Filem Eropah ke Kuala Lumpur.
“20 filem dari 20 negara Eropah, kami amat teruja dengan kembalinya Festival Filem Eropah ke Kuala Lumpur.
“Saya berbesar hati kerana kami, Delegasi Kesatuan Eropah bersama-sama Kedutaan Negara-Negara Anggota Kesatuan Eropah serta rakan-rakan kami dari Norway, Switzerland dan Ukraine, sekali lagi berganding bahu dalam menganjurkan Festival Filem Eropah Malaysia edisi ke-26.
“Kerjasama ini mencerminkan moto KesatuanEropah, iaitu ‘Bersatu dalam Kepelbagaian’ (United in Diversity), yang meraikan kekayaan budaya dan suara kreatif Eropah yang pelbagai, sambil menyatukannya melalui bahasa universal seni perfileman.
“Kami menantikan peluang untuk berkongsi kisah-kisah ini dengan penonton Malaysia, di samping terus memperkukuh hubungan kebudayaan dan persefahaman antara Eropah dan Malaysia,” ujarnya.
Dalam pada itu, Pengarah Festival EUFF, Yu Ern Chia juga memberikan penghargaan kepada para pembikin filem dan semua pihak yang telah membawa karya mereka ke Malaysia.
“Kebanyakan filem ini hadir dengan pengiktirafan tertinggi dunia perfileman, namun apa yang paling menyentuh hati kami ialah bagaimana karya-karya ini mula saling berbicara apabila diletakkan bersebelahan.
“Hampir tanpa dirancang, pemilihan filem tahun ini berulang kali kembali kepada tema kekeluargaan, sebuah keluarga yang berada di bawah pemerhatian negara dalam Fjord, hubungan bapa dan anak perempuan yang hanya mampu dipertemukan melalui seni dalam Sentimental Value dan The Beloved, serta wanita-wanita muda yang menentukan sendiri bagaimana mereka ingin menjadi seorang ibu dalam Young Mothers.
“Di samping mereka, terdapat juga kisah individu yang enggan berdiam diri, daripada para wartawan radio dalam Waves sehinggalah kepada manusia terakhir yang masih hidup dalam U Are the Universe, yang terus mencari satu lagi suara untuk didengari.
“Ini merupakan kisah-kisah Eropah, namun penonton Malaysia pasti dapat melihat persoalan dan pengalaman mereka sendiri di dalamnya.
“Datanglah untuk menonton nama-nama yang anda kenali, tetapi bukalah minda terhadap karya yang belum pernah anda dengar.
“Barangkali filem yang tidak pernah anda sangka akan disukai itulah yang akhirnya paling lama terpahat dalam ingatan,”katanya.
Festival Filem Eropah Malaysia edisi ke-26 dianjurkan oleh Delegasi Kesatuan Eropah ke Malaysia bersama Blackflag, dengan sokongan rakan rasmi termasuk FINAS, TGV Cinemas dan Astro.
Tidak ketinggalan juga penaja rasmi, Sotong Potong Studio, Goggler, Yusari Studios, Deoworkz, Absolute Apparel dan Gravity S Nine Resources.
Festival Filem Eropah Malaysia edisi ke-26 akan berlangsung dari 26 November hingga 13 Disember 2026 di TGV Pavilion Kuala Lumpur.
Tiket tayangan ditawarkan pada harga RM8 dan boleh dibeli menerusi kiosk tiket TGV, laman web rasmi TGV serta aplikasi mudah alih TGV.