Sekilas
- Sabronzo dari kumpulan Dolla dedahkan versi lagu bahasa Melayu mereka lebih digemari oleh pendengar antarabangsa.
- Dolla gunakan gabungan bahasa Melayu dan Inggeris dalam muzik untuk perkenalkan budaya Malaysia di pentas global.
- Kumpulan ini akan tampil di The A Festival Paris 2026 sebagai platform kembangkan pengaruh muzik Malaysia di peringkat antarabangsa.
Anggota kumpulan Dolla, Sabronzo mendedahkan mereka menerima maklum balas daripada pendengar antarabangsa yang lebih menggemari versi bahasa Melayu lagu kumpulan tersebut.
Menurut Sabronzo, penerimaan itu membuka ruang kepada Dolla untuk memperkenalkan bahasa serta budaya Malaysia menerusi muzik di pentas antarabangsa.
Katanya, bahasa merupakan antara elemen terpenting dalam identiti muzik mereka, terutama ketika mendekati pendengar yang belum begitu mengenali Malaysia.
“Saya rasa salah satu aspek paling penting dalam muzik kami ialah bahasa kami. Tidak ramai orang tahu atau biasa dengan Malaysia secara amnya, seperti di mana ia berada atau apakah budaya kami.
“Tetapi saya rasa bahasa adalah bahagian yang sangat penting dalam budaya kami,” katanya.
Sabronzo berkata demikian pada sidang media sempena jelajah persembahan sulung Dolla di Eropah serta penyertaan mereka dalam The A Festival Paris di Paris Event Centre.
Mengulas lanjut, dia berkata, Dolla mengetengahkan gabungan bahasa Melayu dan Inggeris dalam karya mereka, selain mempunyai lagu sepenuhnya dalam kedua-dua bahasa berkenaan.
Bagaimanapun, maklum balas pendengar luar terhadap versi bahasa Melayu memberikan peluang kepada kumpulan itu untuk menonjolkan keunikan Malaysia.
“Lagu-lagu kami bercampur bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Kami juga mempunyai lagu dalam bahasa Inggeris sepenuhnya dan bahasa Melayu sepenuhnya.
“Tetapi ramai orang memberitahu kami bahawa mereka sebenarnya lebih menyukai versi bahasa Melayu kami,” ujarnya.
Sabronzo melihat penerimaan tersebut sebagai salah satu cara untuk membawa nama Malaysia kepada khalayak lebih luas, di samping memperkenalkan muzik Dolla.
Menurutnya, bahasa bukan sahaja menjadi identiti karya, malah ruang untuk pendengar antarabangsa mengenali apa yang ditawarkan negara ini.
“Saya rasa itu salah satu cara untuk memperkenalkan Malaysia di luar sana dan membuatkan orang lebih mengenali apa yang kami ada, sudah tentu termasuk muzik kami.
“Kami berharap dapat berhubung dengan semua orang tidak lama lagi,” tuturnya.
Sekadar info, DOLLA bakal mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa menerusi penyertaan mereka di The A Festival Paris yang akan berlangsung pada 24 & 25 Oktober 2026.
Festival ini juga menghimpunkan artis, peminat dan pemain industri dari seluruh dunia, menjadi platform buat DOLLA memperluaskan lagi pengaruh muzik Malaysia di peringkat global.