Sekilas
- Pelakon Ezzanie Jasny menganggap peminat yang menjodohkannya dengan Lorenzo Irmann selepas bergandingan dalam drama sebagai perkara biasa dan positif.
- Ezzanie menghargai keserasian mereka dalam drama yang berjaya menyentuh hati penonton serta menganggap Lorenzo sebagai kawan yang baik dan profesional.
- Walaupun sering dijodohkan, Ezzanie menegaskan hubungan mereka hanya sekadar rakan sekerja dan tiada apa-apa di luar set kerja.
Pelakon Ezzanie Jasny menganggap tindakan segelintir peminat yang menjodohkannya dengan pelakon Lorenzo Irmann selepas bergandingan dalam sebuah drama yang dibintangi mereka adalah sebagai satu perkara yang normal.
Menurut Ezzanie, dia melihat perkara itu sebagai satu perkara yang positif malah membuktian bahawa keserasian yang mereka tonjolkan dalam drama berjaya menyentuh hati penonton.
“Saya rasa ia perkara biasa sebab kami buat cerita yang ringan, kisah cinta. Dia seorang kawan yang sangat baik.
“Dia memang sangat bagus dan banyak membantu. Dia juga tidak banyak bermain di set dan itu antara perkara yang saya sangat hormati tentang dirinya,” katanya kepada Gempak.
Ezzanie berkongsi perkara tersebut ketika ditemui di majlis pelancaran Astro Fandom di D Theatre Malaysia, Empire Damansara, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Ezzanie mengakui situasi tersebut merupakan satu pengalaman yang baharu buat dirinya memandangkan kebanyakan gandingannya sebelum ini merupakan pelakon yang sudah berkahwin atau mempunyai teman wanita.
“Rasanya ini kali pertama orang menjodohkan saya dengan hero. Kebanyakan hero yang pernah bergandingan dengan saya sama ada sudah berkahwin atau sudah mempunyai teman wanita.
“Lorenzo sahaja masih bujang. Jadi, ini juga pengalaman pertama buat saya apabila melihat orang menghasilkan video suntingan mengenai kami. Ia satu pengalaman yang baik,” katanya lagi.
Walau bagaimanapun, Ezzani menegaskan bahawa hubungan mereka tidak lebih daripada sekadar rakan sekerja
“Kami tiada apa-apa, itu hanya untuk cerita. Kami profesional,” katanya lagi.