Sekilas
- Tur Sama Sama yang melibatkan lima pemuzik Indonesia iaitu Tulus, Kunto Aji, Dere, Sal Priadi dan Idgitaf akan berlangsung pada 5 Disember di Idea Live Arena, Kuala Lumpur.
- Konsert ini akan menampilkan persembahan interaktif dengan gimik dan perubahan lagu yang unik sepanjang lebih dua jam.
- Tiket untuk 11 kategori termasuk Bronze, Crystal, Diamond dan Emerald boleh dibeli melalui aplikasi BBO EVENTS atau laman rasmi samasamatur.com.
Terhitung kurang satu bulan sebelum Tur Sama Sama yang digerakkan lima pemuzik hebat Indonesia iaitu Tulus, Kunto Aji, Dere, Sal Priadi dan Idgitaf akan bertemu peminat di Malaysia.
Kolaborasi unik Tur Sama Sama dijadual berlangsung pada 5 Disember di Idea Live Arena, Kuala Lumpur.
Pertama kali ke Malaysia selepas sukses dengan pertunjukan di lima kota besar di Indonesia, lima sekawan ini mengaku teruja kerana sudah melihat banyak testimoni sambutan luar biasa yang diberikan peminat terhadap kehadiran pemuzik Indonesia.
“Kami sangat berdebar tapi menerusi testimoni sebelum ini pada kehadiran secara solo, kami menyifatkan peminat di Malaysia sangat antusias dan hangat.
“Mereka juga sangat menghargai karya-karya kami, makanya teruja ya ke Malaysia pertama kali lewat Tur SAMA SAMA,” ujar Tulus menerusi temu bual secara virtual baru-baru ini.
Bagi Kunto, kehadiran Tur SAMA SAMA di Malaysia tanggal 5 Disember ini akan menjadi pertunjukan bukan satu arah. Akan ada karya lagu yang berubah dan gimik yang enggan ‘dipecahkan’.
“Akan ada perubahan-perubahan kecil, gimik dan tentunya ia bersifat interaktif bukan pertunjukan satu arah sepanjang lebih dua jam pertunjukan nanti,” katanya Kunto.
Gita pula menyifatkan Tur SAMA SAMA sebagai ruang buat mereka berlima menumpahkan visi yang sama dengan konsep yang telah lama difikirkan.
“Tur SAMA SAMA ini memiliki keberagaman pesan daripada lima pemuzik dan kesan yang tergabung daripada kami ini yang penting untuk disampaikan.
“Ia bukan tentang populariti tetapi lebih kepada kesan karya kami secara tak langsung telah merapatkan komuniti atau peminat masing-masing lalu berkembang kerana menyokong konsep Tur SAMA SAMA ini,” ujarnya.
Sedang rancak membuat persiapan, mereka berjanji tidak akan mengecewakan peminat dengan kehadiran sulung ini.
Maka dengan itu jangan sampai terlepas memiliki salah satu daripada 11 kategori tiket menarik seperti Bronze, Crystal, Diamond, Emerald dan banyak lagi, yang boleh dibeli melalui aplikasi BBO EVENTS atau laman rasmi samasamatur.com.