Sekilas
- Pelakon opera Kantonis Yemina Yu Chung Yan, 32, berkahwin dengan ahli politik Lo Wai Kwok, 73, yang mempunyai jurang usia 41 tahun dan lebih tua 10 tahun daripada bapa mentuanya.
- Pasangan ini sudah mengenali antara satu sama lain sejak kecil dan mula bercinta selepas Yemina tamat pengajian veterinar, kemudian berkahwin dalam masa tiga minggu.
- Majlis perkahwinan di Hong Kong dihadiri kira-kira 300 tetamu, dengan Wai Kwok menjemput pengantin perempuan menggunakan kereta Ferrari tahun 1994 dan mereka berduet bermain saksofon semasa majlis.
Perkahwinan seorang pelakon opera Kantonis dari Hong Kong, Yemina Yu Chung Yan, 32, dengan ahli politik berusia 73 tahun, Lo Wai Kwok, mencuri perhatian ramai apabila pasangan tersebut mempunyai jurang usia sehingga 41 tahun.
Namun, apa yang lebih menarik perhatian ialah usia pengantin lelaki itu sebenarnya 10 tahun lebih tua daripada bapa mentuanya sendiri!
Menurut laporan media antarabangsa, pasangan berkenaan melangsungkan perkahwinan pada 11 Oktober lalu di Beas River Country Club, Hong Kong dengan kehadiran kira-kira 300 tetamu.
Antara momen yang menjadi bualan ialah ketika Wai Kwok menghidangkan teh kepada bapa pengantin perempuan, Yu Pak Lok, 63, dalam upacara tradisional masyarakat Cina.
Foto yang dikongsikan di media sosial memperlihatkan pengantin lelaki menyerahkan secawan teh kepada bapa mentuanya yang merupakan seorang pengulas lumba kuda veteran.
Menariknya, Wai Kwok dan Pak Lok bukanlah orang asing, sebaliknya sudah menjalin persahabatan selama lebih dua dekad kerana berkongsi minat terhadap sukan lumba kuda serta seni tradisional.
Malah, Yemina sebenarnya sudah mengenali suaminya sejak zaman sekolah rendah dan pernah memanggil lelaki berkenaan sebagai ‘Uncle Lo’ selama lebih 20 tahun.
Perkenalan mereka bermula apabila Wai Kwok bersama mendiang isterinya menghadiri pertandingan opera Kantonis yang disertai Yemina ketika masih kecil.
Sejak itu, mereka beberapa kali bertemu menerusi aktiviti seni dan pernah berkongsi pentas dalam sebuah persembahan opera Kantonis sekitar tahun 2018.
Hubungan mereka bagaimanapun hanya bertukar romantis pada Mei lalu selepas Yemina menamatkan peperiksaan akhir pengajiannya dalam bidang perubatan veterinar.
Difahamkan, perbualan menerusi mesej mengenai opera Kantonis dan kehidupan menjadi titik permulaan hubungan cinta mereka.
Lebih mengejutkan, pasangan itu mengambil masa kira-kira tiga minggu selepas meluahkan perasaan untuk membuat keputusan berkahwin dan memulakan persiapan majlis.
Perkahwinan berkenaan turut mendapat restu bapa Yemina yang dilaporkan tidak mempunyai sebarang masalah dengan pilihan anak perempuannya.
Pak Lok menyifatkan Wai Kwok sebagai individu yang menghargai hubungan sesama manusia dan percaya anaknya sudah mempertimbangkan keputusan tersebut dengan teliti.
Dalam pada itu, Wai Kwok turut mencuri perhatian apabila menggunakan kereta Ferrari 348 Spider berwarna merah untuk menjemput pengantin perempuan.
Lebih unik, kereta sport tersebut dihasilkan pada tahun 1994, iaitu tahun yang sama Yemina dilahirkan.
Majlis perkahwinan mereka turut diserikan dengan persembahan muzik apabila Wai Kwok bermain saksofon dan berduet bersama isterinya.
Untuk rekod, Wai Kwok pernah mendirikan rumah tangga bersama Wong Siu Chun selama lebih 40 tahun sebelum isterinya meninggal dunia akibat penyakit jantung pada Ogos 2021.
Pasangan itu dikurniakan seorang anak lelaki dan Wai Kwok juga sudah bergelar datuk.
Sumber: 8days, South China Morning Post dan media Hong Kong