Pengarah Orkestra Tradisional Malaysia, Mohd Yazid Zakaria yang bertanggungjawab mengetuai persembahan sewaktu Majlis Makan Malam Gala ASEAN, baru-baru ini, dilaporkan meninggal dunia tengah hari tadi.
Allahyarham dilaporkan rebah ketika menerima rawatan di sebuah klinik sebelum menghembuskan nafas terakhir.
Berita sedih itu dikongsi Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi kenyataan di media sosialnya, hari ini.
Perdana Menteri berkata, pemergian itu adalah satu kehilangan besar buat dunia seni tempatan berikutan Allahyarham adalah konduktor berbakat.
Katanya, Allahyarham adalah insan seni berjiwa luhur yang menjadikan muzik sebagai wahana menyatukan hati dan memperindah jiwa bangsa.
Advertisement
"Terima kasih atas segala sumbangan dan bakti Allahyarham dalam mengangkat martabat muzik tradisional negara. Dedikasinya akan terus dikenang dan menjadi sumber inspirasi buat generasi mendatang.
"Saya turut dimaklumkan bahawa anakanda Allahyarham bakal melangsungkan perkahwinan pada 1 November ini. Semoga keluarga Allahyarham dikurniakan ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi ujian yang berat ini.
"Moga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman," katanya.
Malaysia menganjurkan Majlis Makan Malam Gala sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Isnin lalu bagi meraikan pemimpin ASEAN dan rakan dialog.
Majlis itu menjadi platform bagi diplomasi budaya yang menonjolkan semangat keterangkuman dan solidariti dalam keluarga ASEAN.
Sumber: Berita Harian