Sekilas
- Filem Papa Zola The Movie mendapat sambutan hangat dengan penonton memuji jalan ceritanya yang dekat dengan pengalaman susah payah seorang ayah.
- Lagu tema 'Kita Usahakan Lagi' turut menyentuh hati penonton, menggambarkan perjuangan seorang bapa demi keluarga.
- Filem ini kini ditayangkan di pawagam Malaysia, Brunei, dan Singapura, mengisahkan Papa Zola yang berjuang menyelamatkan anaknya dari makhluk asing bersama rakan lama dalam organisasi rahsia.
Filem Papa Zola The Movie sekali menjadi perhatian apabila ramai penonton memberikan maklum balas positif di media sosial.
Menerusi Threads, rata-rata warganet beranggapan jalan cerita filem keluaran MONSTA dan Astro Shaw itu begitu dekat dengan susah payah yang dihadapi seorang figura bergelar ayah.
“Sebagai ibu ayah, dapat kaitkan jalan cerita Papa Zola The Movie dengan kehidupan. Babak Papa Zola bersusah payah cari rezeki berjaya buatkan kami menitiskan air mata.
“Papa Zola mengajar kita bahawa bahagia ayah ialah ketika memberi dan bukannya ketika menerima,’ komen netizen.
Bukan itu sahaja, penonton juga merasakan pemilihan lagu Kita Usahakan Lagi sangat sesuai sehingga membuatkan mereka menitiskan air mata.
“Bila dengar balik lagu Kita Usahakan Lagi buatkan aku sedih. Betapa gigihnya figura seorang lelaki dan bapa yang bersusah payah demi kebahagiaan dan kelansungan hidup keluarga,” komen netizen.


Jadi, tunggu apa lagi! Jangan lupa ajak semua ahli keluarga dan kawan-kawan untuk tonton serta menangis bersama Papa Zola The Movie. Papa Zola The Movie sudah mula ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia dan Brunei mulai 11 Disember 2025, serta di Singapura pada minggu yang sama.
Sinopsis:
Papa Zola The Movie mengisahkan Papa Zola, seorang bapa yang bekerja keras menyara keluarga kecilnya. Tanpa diduga, dia bertemu semula dengan rakan lama yang pernah berkhidmat bersamanya dalam organisasi rahsia P.A.P.A (Protect and Prevent Agency). Namun keadaan menjadi genting apabila anaknya, Pipi, diculik makhluk asing. Papa Zola bersama Mama Zila perlu bertindak pantas untuk menyelamatkan Pipi dan melindungi dunia daripada ancaman tersebut.
Filem ini menampilkan dua lagu tema iaitu ‘Demi Kebenaran’ nyanyian Insomniacks dan ‘Kita Usahakan Lagi’ nyanyian Batas Senja.