Skip to main content

Hiburan

Penuh Emosi & Bermakna… Warga Cyberview Tonton Bersama Filem Abah Saya Uncle Mike

cyberview

Seramai 130 warga kerja Cyberview Sdn Bhd bersama ahli keluarga hadir beramai-ramai ke tayangan filem tempatan Abah Saya Uncle Mike (ASUM) di TGV D’Pulze, Cyberjaya semalam sempena sambutan Minggu Kemerdekaan dan Hari Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Cyberview, Kamarul Ariffin Abdul Samad berkata, program itu bukan sekadar hiburan, malah bertujuan menyemai nilai cintakan negara dalam kalangan staf di samping menghayati mesej kesatuan yang dibawa oleh filem berkenaan.

Advertisement

“Ini sempena Minggu Hari Merdeka dan Hari Malaysia, kita nak menerapkan nilai cintakan negara bagi staf kita. Pada masa sama, salah satu nilai korporat kami ialah kebersamaan, yang sangat sebati dengan filem ini kerana ia memaparkan mesej perpaduan.

“Kita di Cyberview juga mempunyai visi bersama untuk menjadikan Cyberjaya sebagai hub teknologi global sekali gus meningkatkan ekonomi digital Malaysia,” katanya kepada Gempak.

Menurutnya lagi, tayangan berkenaan juga kesinambungan sokongan Cyberview terhadap industri filem tempatan selepas beberapa inisiatif serupa dijalankan tahun lalu.

“Bagi saya, filem ini amat unik kerana memaparkan kisah berbilang bangsa yang masih mampu menghormati nilai antara satu sama lain tanpa mengubah agama atau budaya mereka. Sikap hormat-menghormati ini amat penting dan sangat kita hargai,” tambahnya.

kamarul

Ketua Pegawai Eksekutif Cyberview, Kamarul Ariffin Abdul Samad bersama Andy Teh dan Uncle Mike

 

Tayangan itu turut diserikan dengan kehadiran pelakon utama Andy Teh serta individu sebenar yang menjadi inspirasi kisah, Uncle Mike, bersama anak-anaknya.

Selain menonton filem, hadirin turut berpeluang menyertai sesi bergambar bersama pelakon dan sesi soal jawab ringkas, sekali gus memberi pengalaman lebih dekat dengan mereka.

Sekadar info, filem Abah Saya Uncle Mike arahan Ezrie Ghazali sudah ditayangkan di pawagam seluruh negara 28 Ogos lalu.

Filem ini diangkat daripada kisah benar Michael Tong Wai Siong, atau lebih dikenali sebagai Uncle Mike, seorang lelaki yang membesarkan tiga anak Melayu yatim piatu sejak kecil, lengkap dengan kasih sayang dan bimbingan rohani termasuk penghormatan terhadap agama Islam.

Dedikasi Uncle Mike turut diiktiraf apabila beliau dianugerahkan Anugerah Maulidur Rasul 2024 oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, atas jasa dan pengorbanannya yang luar biasa.

Terbitan Astro Shaw bersama Etika Sdn. Bhd., Abah Saya Uncle Mike mengetengahkan tema kekeluargaan, perpaduan dan kasih sayang merentas bangsa. Ia dibintangi Andy Teh bersama pelakon muda berbakat seperti Idan Aedan, Nor Merah dan Umar Shakur, dan turut menggunakan tiga bahasa, Melayu, Mandarin dan Kantonis.

Sinopsis.

Rafei, anak sulung daripada tiga beradik yatim piatu, cuba melarikan diri dari rumah anak yatim yang kejam bersama adik-adiknya. Namun, mereka akhirnya terpisah. Dalam perjuangan menyatukan semula keluarga, mereka dipertemukan dengan Uncle Mike, lelaki Cina berhati emas yang mengubah takdir hidup mereka.

Filem ini menegaskan bahawa keluarga bukan sekadar pertalian darah, dan kasih sayang sejati tidak mengenal kaum mahupun agama.

Must-Watch Video

Advertisement