Skip to main content

Hiburan

Penyanyi Wanita Berputih Mata, Ditipu 'Datuk' RM380,000, Tawaran Jadi Duta Hartanah Mewah

Penyanyi Wanita

Seorang penyanyi wanita kerugian kira-kira RM380,000 selepas ditipu seorang lelaki bergelar 'Datuk' yang menawarkan jawatan sebagai duta jenama eksklusif bagi sebuah projek hartanah mewah.

Berkongsi kisahnya, mangsa, Winnie Kok atau lebih dikenali sebagai Winnie K, berkata dia mengenali lelaki memperkenalkan diri sebagai 'Datuk' sebagai pemaju hartanah, melalui rakan karibnya yang juga pengacara pada September 2023.

Advertisement

Katanya, rakannya memaklumkan lelaki berkenaan sedang mencari duta jenama eksklusif untuk syarikatnya bagi projek hartanah berkenaan sebelum memperkenalkan mereka berdua.

"Dia mula hubungi saya melalui WeChat dan janji nak jadikan saya duta eksklusif dengan bayaran antara RM800,000 hingga RM1 juta.

"Dia minta saya pindahkan wang sebagai 'yuran pelaksana projek' dan saya tanya kawan baik saya, dia tunjuk jumlah akaun e-dompet miliknya, jadi saya percayakan dan teruskan bayaran," katanya pada sidang media di Wisma MCA, di sini, hari ini.

Winnie berkata, dalam tempoh dua minggu antara September hingga Oktober 2023, dia menyerahkan wang berjumlah kira-kira RM350,000 melalui pindahan dalam talian dan tunai.

Katanya, bayaran pertama sebanyak RM30,000 dibuat sebelum jumlah keseluruhan meningkat kepada RM380,000, namun lelaki itu memberi alasan hanya pinjam sementara dan akan pulangkan dalam masa dua hingga tiga hari.

"Selepas semua duit habis diberikan, dia terus hilang. Saya buat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Shah Alam pada Oktober 2023 dan sejak itu tidak pernah melihatnya lagi," katanya.

Menurutnya, kejadian itu menyebabkan dia tertekan dan terganggu secara mental kerana wang berkenaan adalah hasil kerja kerasnya dalam industri hiburan.

"Saya dapat gangguan mental dan mengalami tekanan emosi. kerana hilang semua hasil usaha saya sendiri.

"Objektif saya hari ini adalah untuk beri kesedaran kepada masyarakat. Saya hanya berani tampil selepas dua tahun kerana sebelum ini saya tak mahu keluarga saya tahu dan risau," katanya.

Dalam pada itu, Winnie turut meminta wanita lain yang terbabit dalam kes seumpama itu supaya tampil dengan berani bagi mendapatkan keadilan.

Turut hadir pada sidang media itu ialah peguam mewakili mangsa, Esther Hor serta Presiden Malaysian Association of Arts, Live Events, Concerts and Festivals (ALIFE), Datuk Alan Foo.

Sementara itu, Penasihat Eksekutif Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA, Datuk Seri Michael Chong, berkata pihaknya komited membantu mangsa penipuan yang diperdaya melalui hubungan peribadi atau perniagaan, termasuk kes membabitkan Winnie.

Katanya, sejak tahun lalu, pihaknya menerima beberapa aduan melibatkan modus operandi sama, di mana mangsa kebanyakannya wanita ditipu oleh individu bergelar 'Datuk' yang kononnya mahu menjalinkan kerjasama perniagaan.

"Winnie datang berjumpa saya dua kali untuk mendapatkan nasihat dan perlindungan. Berdasarkan semakan pasukan guaman kami, jelas beliau dan beberapa mangsa lain telah diperdaya.

"Kami di MCA melalui panel peguam dan penasihatnya bersedia membantu mana-mana individu yang menjadi mangsa jenayah seumpama itu termasuk dari aspek undang-undang dan sokongan emosi," katanya.'

Dalam pada itu, Michael menggesa semua mangsa supaya tampil kepada pihaknya dan jangan seksa diri secara mental dan jangan ambil tindakan terburu-buru termasukmembunuh diri.

Katanya, pendedahan kes itu bukan hanya untuk mencari keadilan bagi mangsa, tetapi juga sebagai peringatan kepada orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan individu yang menyalahgunakan gelaran serta kedudukan bagi tujuan penipuan.

Sumber: Berita Harian

Must-Watch Video

Advertisement