Sekilas
- Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq, selamat diijabkabulkan dengan pelakon Bella Astillah dalam majlis bertemakan Arab/Islamik yang penuh elegan.
- Rekaan busana pengantin oleh Zaimi Zulkafli diinspirasikan dari pengalaman di Madinah, menampilkan konsep sederhana namun bermakna bertajuk 'TENANG'.
- Majlis akad nikah berlangsung di Merdeka 118 Precinct dengan kehadiran 255 jemputan dan disempurnakan oleh bekas Menteri Agama, Dato' Seri Dr. Hj Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Tepat pukul 10.40 pagi tadi, Ahli Parlimen Muar iaitu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman selamat diijabkabulkan bersama wanita pilihannya yang juga pelakon, Bella Astillah.
Apa yang menarik, pasangan ini memilih konsep perkahwinan bertemakan Arab/Islamik yang penuh elegan.
Terbaharu, pereka busana bagi majlis pernikahan mereka yang dikenali sebagai Zaimi Zulkafli berkongsi kisah di sebalik rekaan persalinan yang digayakan Bella dan Syed Saddiq.
Menerusi perkongsian di Instagram, Zaimi memaklumkan pemilik nama Dayang Ara Nabellah Awang Astillah itu menginginkan sebuah rekaan yang sedap mata memandang serta tidak berlebihan.
“Masih terngiang saat Bella Astillah menghubungi Zaimi dan karyawan rumah fesyen kami untuk mencipta helaian nikah buat mereka berdua.
“Bella menginginkan sesuatu yang sedap mata memandang, sopan dan tidak berlebihan namun, di sebalik kesederhanaannya, tersimpan sebuah cerita yang cukup bermakna,” kongsinya.
Berkongsi lanjut, Zaimi menjelaskan bahawa inspirasi di sebalik rekaan busana tersebut tercetus daripada pengalamannya sewaktu berada di Madinah.
“Inspirasi helaian ini lahir ketika Zaimi dan Hana berada di bumi Madinah, daripada payung-payung yang menaungi perkarangan Masjid Nabawi, hinggalah tikar sejadah di taman Raudhah yang menyimpan seribu rasa.
“‘TENANG’ kami menamakan karya ini. Sebuah lambang perjalanan yang tidak selalu mudah, namun setiap likunya membawa mereka menuju sebuah pengakhiran yang indah, disempurnakan dengan kasih sayang yang tiada penghujungnya,” tulisnya lagi.
Terdahulu, Bella selamat diijabkabulkan bersama pasangannya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dengan sekali lafaz pada pukul 10.40 pagi Sabtu.
Majlis akad nikah dikendalikan Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) selaku jurunikah iaitu YABhg. Dato' Seri Dr. Hj Zulkifli Mohamad Al-Bakri dengan berwalikan bapa Bella Astillah, Awang Astillah Abdullah@ Dullah serta dua orang saksi, Ustaz Syed Abdullah Syed Nordin dan Ustaz Mohd Nizam Md Nor.
Pada hari istimewa itu, Bella dan Syed Saddiq mengenakan busana rekaan pereka fesyen terkenal Zaimi Zulkafli.
Pengantin lelaki turut menyerahkan mas kahwin bernilai RM500 dengan tujuh dulang hantaran daripada pihak lelaki berbalas sembilan daripada pihak wanita. Lebih menarik Bella dan Syed Saddiq menjadi pasangan pertama yang disatukan sebagai suami isteri di bangunan ikonik Malaysia, Merdeka 118 Precinct.
Majlis bertema Islamic Arabic dihadiri 255 jemputan termasuk keluarga terdekat serta kenalan rapat kedua belah pihak.
Sumber: Instagram