Pemergian Andre Mikhail nyata meninggalkan kesan mendalam buat keluarga, khususnya pelakon, Amyza Aznan dan anak-anaknya.
Menerusi satu hantaran di Instagram, anak kedua kepada Amyza iaitu Adrian Adam memuat naik kata-kata ringkas namun penuh emosi yang menyentuh hati ramai.
“Perjalanan terakhir kita bersama,” tulisnya ringkas.
Dalam hantaran sama, Adrian turut menitipkan doa buat Allahyarham abangnya.
“Tenanglah di sana abangku. Meski takdir kita tak pasti, ku setia di sini; doaku mengiringi kamu.”
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen memberikan kata-kata semangat buat dirinya dan keluarga agar terus kuat menempuhi dugaan ini.
Terdahulu, Andre Mikhail dimaklumkan telah mengembuskan nafas terakhir selepas hampir setahun bertarung melawan kanser paru-paru tahap tiga.
Allahyarham difahamkan telah menghembuskan nafas terakhirnya sekitar pukul 10.30 malam.
Berita sedih itu diumumkan sendiri oleh Amyza menerusi kemas kini di Instagram Stories pada Isnin.
Sekadar info, Februari tahun lalu, Amyza berkongsi khabar duka apabila Andre disahkan menghidap kanser paru-paru tahap tiga.
Selang setahun, anak keduanya, Adrian Adam, 18, pula disahkan menghidap kanser tulang dan perkhabaran duka itu dikongsi oleh aktres itu di platform media sosialnya sehingga mengejutkan ramai.