Sekilas
- Hafiz Hamidun berkongsi pengalaman mula bekerjasama dengan Datuk Seri Siti Nurhaliza melalui lagu Mikraj Cinta sekitar tahun 2014.
- Selain Mikraj Cinta, Hafiz juga mencipta dan menghasilkan beberapa lagu lain untuk Siti Nurhaliza termasuk Basyirah, Rencong, dan Di Ujung Hari.
- Hafiz mengucapkan terima kasih atas peluang yang diberikan dan mendoakan kejayaan konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Penyanyi Hafiz Hamidun mengimbau kembali saat dia diberi peluang untuk bekerjasama dengan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza sekitar 2014.
Menerusi perkongsian di Threads, Hafiz memberitahu lagu Mikra Cinta merupakan karya yang membuatkan dia dan Siti Nurhaliza mula bekerjasama secara serius.
“Saya mengenali Datuk Seri Siti Nurhaliza bukan hanya sebagai individu, tetapi sebuah pasukan.
Walaupun beliau sudah sedia terpasak sebagai seorang lagenda, tetapi apabila bekerja, seluruh team beliau sangat komited.
“Masih ingat lagi sekitar tahun 2014, beberapa kali saya disapa dan diminta oleh beliau untuk menghasilkan lagu untuk beliau nyanyikan. Ketika itu, saya anggap ia sekadar gurauan.
“Tapi ada satu acara di Putrajaya, ketika kami membuat persembahan bersama-sama, beliau benar-benar mahu mencuba untuk sampaikan lagu ciptaan saya.
“Saya berikan demo Mikraj Cinta. Siapa sangka, bermulalah perkenalan saya secara serius di studio rakaman dengan beliau,” kongsinya.
Selain Mikraj, Hafiz juga mencipta lagu Basyirah dan Rencong selain berkesempatan menjadi penerbit lagu serta vokal untuk beberapa lagu lain seperti Di Ujung Hari (Ungu & Siti Nurhaliza), Alhamdulillah (Atta, Aurel & Siti Nurhaliza), Nadi serta Hati Yang Rindu.
Dalam pada itu, Hafiz mengucapkan terima kasih kepada Siti Nurhaliza yang memberi peluang kepadanya selain mendoakan agar konsert Legacy 30 berjaya dengan jayanya.
“Sempena Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza di Stadium Nasional Bukit Jalil esok, serta ulangtahun beliau keesokan harinya, saya ucapkan jutaan terima kasih di atas peluang yang diberikan serta semoga terus berjaya kepada beliau.
“Benarlah bagai kata pepatah, seperti padi, semakin berisi semakin merunduk. Itulah insan hebat, Datuk Seri Siti Nurhaliza,” katanya.
Sumber - Threads