Pengacara, Nadia Annuar menegur sikap segelintir netizen yang gemar mencampuri urusan rumah tangga orang lain, khususnya ketika melibatkan isu perceraian.
Menerusi satu hantaran di platform Threads, Nadia menasihati orang ramai agar tidak terlalu sibuk mengambil tahu atau membuat spekulasi berhubung masalah rumah tangga individu lain sebaliknya membiarkan pasangan terbabit menyelesaikan isu mereka secara peribadi.
“Kakak nak cakap sikit boleh? Takyah sibuk lah hal rumah tangga orang. Biar dorang settle sendiri. Masa sedap dorang yg sedap, kita tak tumpang sedap pun.
“So masa pahit ni kita nak tumpang pahit buat apa? Hidup sendiri pun banyak masalah,” tulisnya.
Dalam pada itu, Nadia turut mengingatkan bahawa setiap individu juga mempunyai masalah hidup sendiri yang perlu dihadapi, justeru tidak perlu membebankan diri dengan isu orang lain yang bukan tanggungjawab kita.
Sebagai seorang wanita yang pernah melalui pengalaman perceraian sebanyak dua kali, Nadia turut berkongsi nasihat ikhlas agar pasangan yang memilih untuk berpisah tidak terlalu membuka aib atau menceritakan secara terperinci punca perceraian kepada umum.
Menurutnya, perceraian tidak seharusnya dijadikan medan untuk menentukan siapa betul atau salah.
“Nasihat kakak yang dah pernah bercerai 2 kali ni, takyah lah jaja sangat cerita kenapa nak cerai, sape baik sape buruk. Nak cerai je kan? Bukan jutawan nak berebut harta pun kena bukti siapa yang salah kan? Ada anak anak; kita pikir nanti masa depan anak dah besar malu oi.
“Satu Malaysia tau cerita celah kain mak pak dia masa cerai. Malu dik oi,” tambahnya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet bersetuju bahawa isu rumah tangga seharusnya ditangani secara matang tanpa melibatkan campur tangan orang luar.