Sekilas
- Shweta Sekhon menjelaskan kenyataannya mengenai kritikan netizen terhadap fizikal finalis Miss Universe Malaysia 2026 dan menegaskan kritikan harus bersifat membina.
- Beliau mengingatkan bahawa dunia pertandingan Miss Universe kini sudah berubah dari segi syarat, kriteria, dan jangkaan terhadap peserta.
- Shweta juga memohon maaf jika kenyataannya sebelum ini menimbulkan salah faham dan menegaskan wanita tidak sepatutnya dinilai hanya berdasarkan bentuk atau saiz badan.
Pelakon dan pengacara Shweta Sekhon tampil memperjelaskan kenyataannya berhubung kritikan netizen terhadap fizikal finalis Miss Universe Malaysia 2026.
Shweta yang pernah bergelar Miss Universe Malaysia 2019 berkata, dia memahami orang ramai mempunyai pandangan dan teguran tersendiri terhadap barisan finalis tahun ini, namun berharap kritikan diberikan secara membina.
“Saya faham kenapa ramai ada pendapat dan teguran terhadap finalis Miss Universe Malaysia tahun ini.
“Saya pun pernah berada di tempat mereka, jadi saya tahu betapa banyaknya tekanan dan tanggungjawab apabila membawa nama Malaysia,” katanya menerusi Threads.

Menurut Shweta, teguran dan pandangan masyarakat tetap diperlukan, namun perlu dibezakan dengan kata-kata yang boleh menjatuhkan seseorang.
“Teguran itu perlu, pandangan itu juga penting. Cuma saya harap kita boleh bezakan antara kritikan yang membina dengan kata-kata yang menjatuhkan.
“Kita boleh berharap dan mahukan yang terbaik untuk wakil kita tanpa perlu menjatuhkan mereka untuk menyampaikan pandangan,” ujarnya.
Dalam masa sama, menurut pelakon filem Terbang itu dunia pertandingan Miss Universe sudah banyak berubah termasuk dari segi syarat, kriteria serta jangkaan terhadap seseorang peserta.
“Dunia Miss Universe sendiri sudah banyak berubah. Syarat, kriteria dan ‘expectation’ terhadap seorang Miss Universe hari ini sudah tidak sama seperti dahulu,” katanya. l
Shweta turut memohon maaf sekiranya kenyataannya sebelum ini menimbulkan salah faham.
“Saya minta maaf sekiranya saya tersalah cakap,” katanya.
Terdahulu, Shweta menyuarakan pandangan mengenai tindakan segelintir netizen yang mengkritik fizikal peserta Miss Universe Malaysia 2026 selepas 15 finalis diumumkan baru-baru ini.
Ketika itu, dia berpendapat seseorang wanita tidak seharusnya dinilai berdasarkan bentuk atau saiz badan semata-mata.
Menerusi perkembangan lain, Shweta turut membintangi filem TERBANG arahan Chiu Keng Guan yang diinspirasikan daripada perjalanan legenda rali negara, Karamjit Singh.
Filem yang turut dibintangi Irfan Zaini, Zizan Razak, Jack Tan dan Nam Ron itu bakal menemui penonton di pawagam pada 17 September ini.
Sumber: Threads