Skip to main content

Acara

Pernah Bersaing Di Pentas, Aepul Roza & Asfan Shah Kini Bergabung Dalam Konsert Malam Drama Manusia

Pernah Bersaing Di Pentas, Aepul Roza & Asfan Shah Kini Bergabung Dalam Konsert Malam Drama Manusia

Sekilas

  • Vokalis Drama Band, Aepul Roza, dan penyanyi Asfan Shah akan bergabung dalam Konsert Malam Drama Manusia pada 15 Januari 2027 di Zepp Kuala Lumpur.
  • Konsert ini mengusung konsep fantasi dengan gabungan dua kumpulan dan menampilkan lebih 25 lagu dengan susunan muzik baharu untuk pengalaman unik penonton.
  • Tiket sudah boleh dibeli di Ticket2u dengan diskaun 15% untuk pendaftaran awal, tertakluk kepada syarat penganjur.
Advertisement

Pernah beberapa kali bersaing dalam pertandingan muzik, vokalis Drama Band, Aepul Roza dan penyanyi Asfan Shah kini bakal berkongsi pentas menerusi Konsert Malam Drama Manusia yang dijadualkan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 15 Januari 2027.

Lebih menarik, konsert anjuran Permaico Concerto itu bakal menyaksikan Drama Band bergabung dengan kumpulan Asfan Shah dan Manusia dalam sebuah persembahan berkonsepkan fantasi.

Advertisement

Menurut Aepul, peluang untuk bergandingan dengan Asfan dalam sebuah konsert berskala besar merupakan pengalaman yang cukup bermakna, lebih-lebih lagi selepas mereka pernah menjadi pesaing dalam pertandingan muzik.

“Saya dan Asfan sudah pernah bertanding di atas pentas sebanyak dua kali. Ada ketika dia menang dan ada ketika saya menang.

“Jadi, peluang untuk kami bergabung dalam sebuah konsert berskala besar ini memang sesuatu yang saya hargai. Terima kasih kepada pihak penganjur, khususnya Datuk Norshida, atas kepercayaan yang diberikan,” katanya.

Advertisement

Malah, Aepul turut mengusik peminat dengan kemungkinan membuat penampilan luar biasa pada malam konsert, termasuk membotakkan kepala atau muncul menggunakan helikopter.

Bagaimanapun, antara tarikan utama yang dirancang ialah segmen gabungan kedua-dua kumpulan dengan dua pemain dram, tujuh pemain gitar dan dua vokalis beraksi secara serentak di atas satu pentas.

Sementara itu, Asfan berkata, konsert berkenaan bukan sekadar menghimpunkan lagu popular, sebaliknya dirancang untuk membawa penonton menikmati pengalaman muzik yang penuh imaginasi dan emosi.

“Konsep konsert ini berteraskan fantasi. Kami mahu memberikan pengalaman baharu kepada penonton, bukan sekadar datang untuk melihat penyanyi membuat persembahan di atas pentas.

“Kami mahu penonton merasai pelbagai emosi sepanjang persembahan, daripada lagu rancak hinggalah lagu sedih dan karya yang membangkitkan perasaan bercampur baur,” katanya.

Menurut Asfan, persembahan yang dijangka berlangsung lebih dua jam itu bakal menampilkan sekurang-kurangnya 25 lagu, termasuk karya sendiri serta lagu yang pernah dihasilkannya untuk penyanyi lain.

Lagu-lagu tersebut juga akan diberikan susunan muzik baharu bagi menyuntik kelainan kepada karya yang sudah dikenali peminat.

Untuk rekod, kumpulan Asfan Shah dan Manusia yang ditubuhkan pada penghujung tahun lalu turut memperkenalkan single berjudul ‘Dusta’.

Kumpulan itu dibarisi pemuzik berpengalaman termasuk Adam Karman dan Arash daripada Treehill, Zack daripada New Boyz serta One daripada Sofazr.

Idea menggabungkan Drama Band dan Asfan Shah dan Manusia dicetuskan pihak penganjur, dengan persamaan kedua-dua pihak yang banyak menghasilkan lagu untuk runut bunyi drama tempatan menjadi antara inspirasi konsep konsert tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif Permaico Concerto, Datuk Norshida Mohamed Ali turut memberikan kepercayaan kepada kedua-dua kumpulan untuk menjayakan persembahan istimewa berkenaan.

Konsert Malam Drama Manusia bakal berlangsung pada 15 Januari 2027, bermula pukul 8.30 malam di Zepp Kuala Lumpur.

Tiket kini boleh didapati menerusi platform Ticket2u, dengan tawaran penjimatan sebanyak 15 peratus untuk pendaftaran awal tertakluk kepada syarat penganjur.

Anda mungkin berminat dengan

adidas Football Arsenal 24/25 Third Jersey Men Blue IZ0114

adidas Football Arsenal 24/25 Third Jersey Men Blue IZ0114

Kikilala Baby Boy Suit Sets World Cup BSB584

Kikilala Baby Boy Suit Sets World Cup BSB584

adidas Lifestyle ADIDAS DISNEY MICKEY MOUSE CAP Unisex Blue KA9885

adidas Lifestyle ADIDAS DISNEY MICKEY MOUSE CAP Unisex Blue KA9885

adidas Football Argentina 26 Home Pre Match Jersey Men White JY9530

adidas Football Argentina 26 Home Pre Match Jersey Men White JY9530

adidas Football Argentina 26 Home Jersey Men White JM8396

adidas Football Argentina 26 Home Jersey Men White JM8396

Shokz OPENRUN PRO 2 Open-Ear Bone Conduction Sport Headphones | Noise Cancelling | IP55 Waterproof | Superior Sound

Shokz OPENRUN PRO 2 Open-Ear Bone Conduction Sport Headphones | Noise Cancelling | IP55 Waterproof | Superior Sound

Must Watch Video

Advertisement