Sekilas
- Ashhry Atan kini semakin pulih dan berat badannya meningkat selepas mengalami masalah kesihatan sebelum ini.
- Restoran Ashhryshoshedap di Johor Bahru berjaya mendapat pensijilan halal JAKIM dan mempunyai dua cawangan aktif.
- Ashhry merancang untuk membuka cawangan ketiga di Kuala Lumpur dalam tempoh dua tahun jika operasi berjalan lancar.
Pempengaruh dan usahawan, Ashhry Atan meluahkan rasa syukur apabila keadaan kesihatannya kini semakin baik selepas melalui pelbagai ujian sebelum ini.
Ashhry yang pernah mendakwa dirinya mengalami gangguan sihir sehingga berat badannya mengalami penurunan ketara berkata, dia kini semakin pulih dan kembali memberikan perhatian terhadap penjagaan kesihatan diri.
“Alhamdulillah, keadaan kesihatan saya semakin baik dan berat badan pun makin naik.
“Sekarang saya cuba untuk lebih menjaga diri supaya kekal sihat dan dapat terus menguruskan perniagaan dengan baik,” katanya.
Ashhry berkongsi perkembangan tersebut ketika meraikan kejayaan cawangan pertama restorannya, Ashhryshoshedap di Nongchik Riverside, Johor Bahru, Johor yang menerima pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Dalam pada itu, Ashhry dilihat terus aktif menguruskan perniagaan makanan dan minumannya yang kini mempunyai dua cawangan di Johor Bahru.
Malah, dia turut merancang untuk mengembangkan perniagaan ke Kuala Lumpur dalam tempoh dua tahun akan datang sekiranya operasi sedia ada berjalan lancar.
“Buat masa sekarang, saya mahu fokus menjaga dua cawangan yang sudah beroperasi terlebih dahulu.
“Saya mahu memastikan kualiti makanan dan perkhidmatan kami sentiasa konsisten. Kalau semuanya berjalan lancar, insya-Allah dalam tempoh dua tahun lagi saya merancang untuk membuka cawangan di Kuala Lumpur,” katanya.
Terdahulu, Ashhry meraikan kejayaan restorannya memperoleh pensijilan halal JAKIM dengan menjamu hampir 1,000 pengunjung sarapan secara percuma sebagai tanda kesyukuran dan penghargaan terhadap sokongan pelanggan.
Untuk rekod, Ashhry membuka cawangan kedua Ashhryshoshedap di Tanjung Puteri, Johor Bahru pada Julai lalu.