Sekilas
- Miss Austria 2024, Lucia Sisic, meninggal dunia pada usia 22 tahun ketika masih memegang gelaran tersebut.
- Lucia mempunyai masalah jantung sejak kecil dan pernah menjalani beberapa pembedahan serta berkongsi pengalaman kesihatannya secara terbuka.
- Berita pemergian beliau diumumkan oleh Mission Austria dan mendapat perhatian daripada badan kebajikan Herzkinder Österreich yang mengenang beliau sebagai wanita muda yang kuat dan ceria.
Dunia ratu cantik Austria menerima khabar duka apabila Miss Austria 2024, Lucia Sisic dilaporkan meninggal dunia pada usia 22 tahun.
Lebih menyedihkan, Lucia menghembuskan nafas terakhir ketika masih menyandang gelaran Miss Austria selepas dinobatkan pada 2024 dan belum ada pertandingan seterusnya diadakan bagi memilih penggantinya.
Berita pemergian Lucia diumumkan oleh Mission Austria, organisasi yang mengendalikan pertandingan Miss Austria dan Mister Austria menerusi satu hantaran di Facebook.
Ketua Pegawai Eksekutif Mission Austria, Kerstin Rigger bersama suaminya, Jörg menyifatkan pemergian Lucia sebagai satu kehilangan yang cukup mengejutkan.
Mereka turut mengenang Lucia sebagai seorang wanita muda luar biasa dan menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga serta individu terdekat dengannya.
Lucia juga disifatkan akan terus menjadi sebahagian daripada keluarga Miss Austria.
Menurut laporan, punca sebenar kematian Lucia belum disahkan.
Bagaimanapun, ratu cantik berkenaan diketahui mempunyai masalah jantung sejak kecil dan pernah terbuka berkongsi mengenai perjalanan kesihatannya.
Malah, Lucia pernah mendedahkan dia menjalani pembedahan pertamanya sejurus selepas dilahirkan.
Pada 2024, Lucia turut berkongsi penghargaan kepada pasukan perubatan yang merawatnya sejak kecil dan beberapa kali membantu menyelamatkan nyawanya ketika berdepan detik sukar.
“Terima kasih kepada kakitangan perubatan dan doktor yang berdedikasi serta berulang kali menyelamatkan nyawa saya menerusi usaha luar biasa mereka.
“Saya berjaya melalui banyak detik sukar dan mampu menjalani kehidupan yang bermakna,” tulisnya ketika itu.
Masalah kesihatan berkenaan turut menyebabkan Lucia melalui pengalaman zaman kanak-kanak yang berbeza berbanding individu seusianya.
“Program sukan berlangsung tanpa saya. Zaman kanak-kanak saya berbeza, tetapi perkara itu juga menjadikan saya kuat,” katanya.
Pemergian Lucia turut mendapat perhatian Herzkinder Österreich, sebuah badan kebajikan Austria yang menyokong kanak-kanak dengan masalah jantung.
Organisasi berkenaan mengenang Lucia sebagai wanita muda berhati hangat dan ceria yang memahami sendiri cabaran membesar dengan kecacatan jantung kongenital serta menjalani pembedahan sejak usia muda.
Di sebalik cabaran kesihatan tersebut, Lucia tetap meneruskan kehidupannya sehingga berjaya dinobatkan sebagai Miss Austria pada 2024.
Dia masih memegang gelaran tersebut sehingga pemergiannya pada usia 22 tahun.