Skip to main content

Hiburan

Pernah Digelar ‘Bodoh’, Fatima Bosch Akhirnya Rangkul Mahkota Miss Universe 2025

ffg

Sekilas

  • Fatima Bosch dari Mexico dinobatkan sebagai Miss Universe 2025 dalam pertandingan yang berlangsung di Thailand, mengalahkan peserta tuan rumah dan lebih 120 wakil negara lain.
  • Bosch pernah terlibat dalam insiden tegang dengan Pengarah Miss Universe Thailand, Nawat Itsaragrisil, yang mendapat kecaman dan permohonan maaf selepas video kejadian tular.
  • Malaysia diwakili oleh Chloe Lim, manakala peserta dari Venezuela, Filipina, dan Cote D’Ivoire masing-masing menduduki tempat ketiga hingga kelima.

Pertandingan Miss Universe 2025 yang berlangsung penuh meriah di Impact Challenger Hall, Nonthaburi, Thailand menyaksikan wakil Mexico, Fatima Bosch, dinobatkan sebagai ratu baharu bagi edisi ke-74.

Peserta berusia 25 tahun itu mengetepikan cabaran peserta tuan rumah, Praveenar Singh, pada kemuncak pertandingan tersebut.

Sementara itu, wakil Venezuela, Stephany Abasali meraih tempat ketiga, diikuti peserta Filipina, Ahtisa Manalo di tempat keempat dan peserta Cote D’Ivoire di kedudukan kelima.

Bosch yang berasal dari Santiago de Teapa, Tabasco itu mempunyai latar pendidikan dalam bidang reka bentuk fesyen dari Universidad Iberoamericana, selain pernah menuntut di Nuova Accademia di Belle Arti, Milan dan Lyndon Institute, Vermont.

Terdahulu, Fatima Bosch menjadi perhatian dunia apabila terlibat dalam insiden tegang bersama Pengarah Miss Universe Thailand, Nawat Itsaragrisil, pada sebuah acara pra-pertandingan.

Insiden itu berlaku apabila Nawat secara terbuka menegur Bosch kerana didakwa gagal memuat naik kandungan promosi, sebelum memanggil pengawal keselamatan dan mengugut untuk menyingkirkan sesiapa yang menyokongnya.

Bosch kemudian bertindak keluar dewan selepas Nawat melabelnya sebagai ‘bodoh’, menyebabkan beberapa peserta lain turut bangkit meninggalkan acara sebagai tanda solidariti

Video kejadian itu yang disiarkan secara langsung tular di media sosial, sekali gus memaksa Miss Universe Organisation (MUO) mengecam tindakan Nawat dan menyifatkannya sebagai keterlaluan. Nawat kemudiannya tampil memohon maaf.

Pertandingan tahun ini menyaksikan lebih 120 wakil negara bertanding, termasuk penyertaan sulung daripada beberapa negara seperti Palestin.

Malaysia turut diwakili jelitawan, Chloe Lim.

Untuk rekod, edisi kali ini mencari pengganti ratu 2024 dari Denmark, Victoria Kjær Theilvig.

 

Must-Watch Video

Advertisement